Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Status halal restoran diragui



IPOH – Kerakusan sebuah restoran mengaut keuntungan berlebihan sempena bulan Ramadan kecundang apabila premis mereka dikesan menggunakan bahan-bahan dipercayai tidak halal. 

Perkara ini dikesan selepas Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK), Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjalankan serbuan ke sebuah premis makanan yang menyediakan steamboat sebagai menu utamanya. 

Ketua Unit Perihal Dagangan PPDNKK Perak, Amer Mansor berkata, mereka bertindak selepas mendapat aduan orang awam yang meragui status halal restoran itu yang disiarkan sebuah akhbar tempatan Rabu lalu. 

Menurutnya, laporan yang menyebut bahawa bahan mentah yang disediakan diperakui halal dan mematuhi syarat ditetapkan jabatan agama Islam negeri dan kebangsaan adalah tidak benar. 

Katanya, hanya salinan sijil halal ayam yang ditunjukkan manakala sijil halal estoran tiada. 

“Hasil pemeriksaan kita hari ini (semalam) mendapati bahagian dapur premis terbabit menyimpan bahan masakan yang mengandungi alkohol dan kebanyakannya adalah produk hasil keluaran negara China,” katanya kepada pemberita, semalam. 

Amer berkata, sebahagian bahan-bahan itu diambil sebagai sampel untuk dikaji bagi mengenal pasti kandungan bahan. 

:Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 15 (2) Akta Perihal Dagangan 1972 yang membawa hukuman denda RM250,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan kedua. 

“Operasi ini adalah yang pertama dilaksanakan dan akan berterusan sepanjang Ramadan bagi mengelak pengguna beragama Islam terpedaya,” katanya. 

Menurutnya, setakat ini tidak ada tindakan diambil terhadap pemilik restoran dan mereka dibenarkan beroperasi. 

“Bagaimanapun, pemilik restoran tidak dibenarkan menyambung promosi berbuka puasa seperti yang disiarkan laporan akhbar terbabit,” katanya.

No comments:

Post a Comment