Search This Blog

Friday, August 13, 2010

'Saya diadili Tuhan'

SEREMBAN: Tertuduh kes bunuh empat ahli keluarganya di Gemencheh, Tampin, Januari lalu, Rasidi Ismail, 32, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, bahawa dia membawa kepala bapanya yang disembelih keluar dari kawasan rumah menggunakan motosikal hingga ke pekan Tampin.

TERTUDUH...Rasidi dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi, semalam.
TERTUDUH...Rasidi dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi, semalam.


Ketika memberi keterangan dari kandang tertuduh, Rasidi yang memakai baju kemeja putih berkata, sebaik sampai di Tampin, dia meneruskan perjalanan ke Seremban menggunakan sebuah teksi sebelum menaiki bas ke Kuala Lumpur.

“Saya turun di Petaling Street dan mendapat visual imej seorang bekas teman saya iaitu Sherry meminta saya tunggu di Kuala Lumpur dan saya menyewa sebuah hotel bajet di Petaling Street. Saya menunggu dia (Sherry) sehingga esok paginya.

“Pada malam itu, saya diadili oleh Tuhan di atas pembunuhan yang dilakukan dan dijatuhi hukuman pancung,” katanya.

Menurutnya, pada pagi itu, dia mendapat tulisan di langit meminta supaya menanam kepala bapanya di mana-mana tanah perkuburan Islam lalu dia pergi ke Shah Alam menaiki sebuah teksi.

Katanya, sebaik sampai di sana, dia menanam kepala bapanya berhampiran pagar dan balik semula ke Kuala Lumpur dengan teksi sebelum solat Zuhur di Masjid Jamek Kuala Lumpur.
“Selepas itu, saya (pergi) ke Penjara Pudu untuk menjalani hukuman pancung, tetapi saya dapati Penjara Pudu sudah ditutup lalu saya bertanyakan kepada anggota polis yang bertugas di situ di mana tempat hukuman pancung dijalankan kerana saya dijatuhkan hukuman di dalam perbicaraan.

“Saya kemudian diarahkan oleh anggota polis itu supaya pergi ke belakang mahkamah dekat Dataran Merdeka dan apabila sampai di situ, saya dapati mahkamah berpindah lalu kembali semula ke Masjid Jamek Kuala Lumpur,” katanya.
Rasidi berkata, pada sebelah petang, dia mendengar ribuan suara manusia di sekeliling menyebabkannya menjadi bingung dan berkecamuk.

Menurutnya, dia mendengar suara itu menyerang anggota polis supaya anggota polis menembak kepalanya yang membawa maksud hukuman pancung terbabit terlaksana.

Katanya, dia mengambil sebilah pisau dari kedai makan berdekatan Masjid Jamek Kuala Lumpur lalu berjalan mencari balai polis berhampiran, namun berjumpa dengan anggota polis yang meronda di Stesen LRT Masjid Jamek dan mengacukan pisau ke arah mereka dengan harapan anggota polis itu menembak kepalanya.

“Namun, mereka tidak menembak kepala saya bahkan mengejar dan berjaya menahan saya lalu dibawa ke Balai Polis Dang Wangi,” katanya.

Rasidi menghadapi pertuduhan membunuh bapanya, Ismail Awang, 76; datuknya, Atan Daud, 87, dan neneknya, Sufiah Katas, 80, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara jam 7 pagi dan 11 pagi pada 5 Januari lalu.

Selain itu, dia dituduh membunuh adiknya, Siti Khadijah, 22, di rumah bernombor 119 kampung berkenaan pada tarikh dan waktu sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

Pada perbicaraan hari ketiga semalam, dua saksi pihak pembelaan iaitu bekas tunang dan majikan memberikan keterangan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin.

Sementara itu, bekas tunang mangsa, Mysharah Mohammad Ali, 29, ketika menjawab pertanyaan peguam bela tertuduh, Hanif Hassan, berkata dia ada menerima panggilan daripada Rasidi pada malam 3 Januari lalu yang memberitahu beberapa ahli keluarganya sudah meninggal dunia.

Bekas majikan tertuduh, Azahar Abdul Halim, 35, berkata Rasidi mula berubah sikap selepas beberapa bulan bekerja di syarikat pembinaan di Shah Alam.

Katanya, Rasidi yang bekerja pada September 2008 sebagai pegawai penyelaras tapak projek mula berubah sikap dengan bercakap seorang diri di tapak binaan selain enggan mendengar arahan daripada orang lain.

Perbicaraan akan bersambung pada 1 dan 2 September depan dengan pihak pembelaan akan mengemukakan saksi penting iaitu seorang pakar sakit jiwa.

No comments:

Post a Comment