Search This Blog

Sunday, August 15, 2010

Rumah terbakar, lima beranak tinggal sehelai sepinggang




MUAR – Lima beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Lorong Hj A Kadir Jelani Air Hitam Batu 18, di sini musnah dalam satu kebakaran lewat petang kelmarin. 

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika dalam keadaan hujan lebat dan ribut yang melanda di kampung itu. 

Ketika kejadian tiada sesiapa yang ada di dalam rumah tersebut dan mangsa, Normaiza Ismail, 37, dan suaminya, Mohd Zahri Abd Kadir, 39, keluar bekerja. 

Normaiza berkata, dia redha dengan musibah yang menimpanya sekeluarga terutamanya pada bulan Ramadan ini. 

“Saya terima panggilan telefon jam 4.50 petang yang mengatakan rumah terbakar dan berasa terkejut dengan kejadian yang berlalu ini. 

“Hanya yang ada dalam fikiran saya ketika ini tentang keselamatan anak-anak yang mana lazimnya pada waktu petang anak sulung saya, Nurul Aziana Mohd Zahri, 15, akan berada di rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian. 

Katanya, mujurlah ketika kejadian tiada seorang pun anak-anaknya yang berada di rumah. 

“Kesemua barang-barang berharga termasuk kereta dan dua motosikal hangus terbakar. 

“Saya sangat terkilan kerana 20 baju Melayu hari raya tempahan pelanggan juga hangus,” katanya. 

Saksi kejadian, Roslan Abd Majid, 56, berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas dentuman petir yang kuat dan disusuli dengan hujan yang sangat lebat.

No comments:

Post a Comment