Search This Blog

Thursday, August 12, 2010

Rokok Tanjong Karang dirampas



KUALA SELANGOR - Polis menangkap empat orang warga tempatan ketika membuat serbuan ke atas empat premis menjual barangan runcit di sekitar Tanjong Karang. 

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintanden Mohd Taib Ahmad berkata, mereka disyaki menjual dan membekalkan rokok keretek seludup serta pelbagai jenis rokok secara haram kepada orang ramai di kawasan tersebut. 

Menurutnya, di atas maklumat orang ramai serta risikan yang dijalankan 10 Ogos lalu, Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuala Selangor membuat serbuan di empat kedai iaitu kedai runcit sekitar kawasan Tanjong Karang. 

“Ini kerana, mereka disyaki melakukan kesalahan menyimpan serta menjual pelbagai jenama rokok yang tidak membayar cukai import dan cukai jualan. 

“Dalam serbuan tersebut, pihak polis menangkap tiga lelaki dan seorang perempuan iaitu pemilik kedai tersebut dan juga merampas rokok berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian. 

Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhannya RM42,000 dan sebanyak 142 karton dan 315 bungkus rokok pelbagai jenama dirampas. 

“Antara jenis rokok iaitu Gudang Garam Suriya, Nusantara Merah, Texas 5 Merah, Nusantara Hijau, Luffman 4 karton dan Romantic gold Virgina. 

“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan dan mengedar pelbagai jenis rokok haram di sekitar kawasan Tanjong Karang,” katanya. 

Mohd Taib berkata, ini adalah serbuan dan rampasan kali pertama pada tahun ini ke atas mereka yang menjual rokok tidak sah. 

“Saya tegaskan mereka yang terlibat dalam aktiviti mengedar atau jual rokok yang tidak sah, supaya hentikan perbuatan itu. 

“Pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment