Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Resah kehadiran warga asing



BUKIT GEDUP – Kehadiran warga asing bagi mencari rezeki dalam sektor pembinaan dan perladangan di negara ini dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara. 

Namun, peningkatan kes jenayah membabitkan warga asing adalah satu isu yang bukan sahaja menjadi perhatian utama pihak keselamatan, malah turut menjejaskan keharmonian komuniti setempat. 

Kehadiran mereka yang kebanyakannya warga Indonesia menimbulkan rasa curiga di hati penduduk, apatah lagi ada antara mereka sering berkeliaran di sekitar kampung, dipercayai tanpa tujuan tertentu. 

Menyuarakan kebimbangan itu, seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Zulkifli berkata, tindakan beberapa warga asing dipercayai pekerja di ladang berdekatan yang sering berkeliaran di sekitar kampung membuatkan penduduk sekitar rasa bimbang dengan keselamatan harta benda dan anak mereka. 

“Setakat ini mereka belum lagi melakukan jenayah di sini, namun kita risau mereka menjadi ejen kepada kumpulan penjenayah yang sering melakukan rompakan. 

“Kehadiran mereka membuatkan kami sebagai penduduk rasa kurang selesa. Bagi mereka yang mempunyai anak gadis yang sering ditinggalkan seorang diri di rumah pula pastinya bimbang. Laporan akhbar mengenai kejadian rogol dan anak gadis dilarikan warga asing pula pastinya menambahkan kegusaran,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengingatkan penduduk setempat agar meningkatkan tahap keselamatan dan sentiasa peka dengan keadaan persekitaran. 

“Jika ada yang rasa curiga dengan kehadiran individu tidak dikenali, boleh hubungi kami untuk tindakan selanjutnya. Pada masa sama, pastikan harta benda dalam keadaan sukar dicerobohi. 

“Rondaan berterusan oleh penduduk kampung melalui kawalan rukun tetangga juga dapat membantu,” katanya.

No comments:

Post a Comment