Search This Blog

Monday, August 2, 2010

Rempuh majlis tahlil

KUALA LUMPUR: Tidak sempat untuk menjamah hidangan, kira-kira 300 penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Kepong, di sini, hanya mampu melihat makanan bertaburan di atas jalan selepas khemah jamuan dirempuh sebuah lori, malam kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu dua khemah yang dipasang di hadapan Blok C pangsapuri bagi majlis tahlil dirempuh lori tiga tan yang dipercayai sengaja melalui jalan itu walaupun sudah ditutup.
Ketua Penduduk Nilam Mutiara Blok C, Salim Shaari, 47, berkata, kejadian berlaku pantas apabila lori terbabit tiba-tiba menghampiri khemah dan merempuhnya sebelum mengheret kedua-dua khemah itu kira-kira 50 meter.

Seorang lelaki warga emas terpaksa menerima empat jahitan di kepala, seorang lelaki berusia 28 tahun menerima jahitan di kaki manakala beberapa penghuni lain cedera ringan.

Beliau yang juga jurugambar Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) berkata, ketika kejadian penghuni sedang beratur untuk mengambil makanan yang dihidangkan selepas selesai majlis tahlil.

“Majls bermula kira-kira jam 7.30 malam dengan bacaan Yasin oleh penghuni wanita sebelum disambung pula majlis tahlil oleh penghuni lelaki. Selepas majlis tamat, kami beramai-ramai mahu menikmati hidangan yang disediakan di khemah.

“Ketika mereka semua sedang beratur untuk mengambil makanan itu, tiba-tiba datang sebuah lori yang pada mulanya merempuh satu tiang khemah menyebabkan kami menjerit dan menyuruhnya berhenti,” katanya.

Difahamkan, pemandu dan kelindan lori itu menyedari kejadian itu kerana pemandunya memberhentikan lori beberapa saat sebelum memecut laju sambil mengheret khemah terbabit.

Menurutnya, akibat rempuhan kuat, khemah kedua turut diheret bersama menyebabkan beberapa penghuni yang berada di dalam khemah mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.

Kebanyakan mangsa adalah di kalangan warga emas, orang miskin dan kurang upaya kerana beberapa minit sebelum jamuan itu mereka menerima sumbangan.

“Walaupun keadaan ketika itu agak kecoh, saya sempat mencatatkan nombor pendaftaran lori berkenaan sebelum membawa beberapa mangsa rempuhan ke sebuah klinik swasta,” katanya.

No comments:

Post a Comment