Search This Blog

Sunday, August 15, 2010

Remaja nyaris buta




TUMPAT - Seorang remaja nyaris buta mata dipercayai terkena serpihan kaca cermin kereta yang dinaiki bersama abang dan kawannya bertembung sebuah lori di Kampung Kubang Batang, kelmarin. 

Dalam kejadian berhampiran Sekolah Kebangsaan Kubang Batang, kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, Mohd Azam Fauzi, 19, luka teruk dipercayai tertusuk cermin antara dua keningnya yang turut mencederakan mata kanannya. 

Mohd Azam kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, selepas menerima lapan jahitan akibat kecederaannya itu dan dilaporkan stabil. 

Manakala abangnya, Mohd Hafiz, 23, hanya mendapat rawatan pesakit luar kerana cedera dahi kanan dan kawan mereka, Adnan Abdul Aziz, 26, yang memandu Wira yang dinaiki mereka bertiga itu turut cedera tangan dan dirawat sebagai pesakit luar. 

Adnan berkata, Mohd Azam cedera teruk kerana dia berada di tempat duduk belakang dan akibat bertembung lori dari arah Chabang Empat menghala ke Wakaf Bharu, cermin kereta di hadapan yang dinaiki mereka pecah serta tayarnya terpesok ke dalam. 

“Ketika kejadian saya cuba memintas sebuah kenderaan hadapan yang ketika itu kami dalam perjalanan ke Chabang Empat untuk balik ke Pasir Mas di Kampung Sena. 

“Tiba-tiba kereta yang saya pandu saya ada masalah menyebabkan saya tidak dapat mengelak lori di laluan bertentangan menyebabkan kami bertembung,” katanya yang keluar bertiga ke Kota Bharu. 

Menurutnya, akibat cermin kereta ini pecah, Mohd Azam yang berada di belakangnya cedera teruk manakala Mohd Hafiz (abang) yang duduk di bahagian depan sebelahnya hanya menerima dua jahitan akibat kecederaan di dahinya itu. 

Sementara itu, pemandu lori tersebut dan kelindannya cedera ringan serta lorinya remuk teruk bahagian sisi yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke kedai barangan rumah di Kampung Belukar selepas menghantar barang.

No comments:

Post a Comment