Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Rampas mercun RM133,907.50



KOTA BHARU – Baru saja dua hari berpuasa tetapi kegiatan penyeludupan mercun terus bergiat aktif dan Kastam Diraja Malaysia Kelantan tidak berdiam diri malah giat memburu penyeludupnya.

Ini terbukti apabila Ahad lalu sepasukan anggota Penguat Kuasa Kastam Pengkalan Kubor dibantu anggota Penguat Kuasa Rantau Panjang dan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Bukit Bunga mematahkan cubaan menyeludup mercun dan bunga api bernilai RM133,907.50.

Pengarah Kastam Negeri, Salleh Mohamed berkata, hasil maklumat kira-kira jam 4 pagi anggota terbabit dalam operasi itu menahan sebuah lori berwarna merah disembunyikan dalam kebun rambutan dekat Kampung Nibong, Tanah Merah.

Menurutnya, apabila menyedari kedatangan pasukan penguat kuasa seorang pemandu lori dan kelindan melarikan diri ke dalam hutan berhampiran.

Bagaimanapun setelah menunggu kedatangan pemilik lori itu beberapa jam namun tiada siapa yang datang menuntut dan ia dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan Kastam Pengkalan Kubor untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati lori itu membawa 54 kotak (2,268 kilogram) dan lima guni (100 kg) mercun serta bunga api bernilai RM80,550.

“Kami juga mempercayai bahan dengan nilai cukai RM53,357.50 terbabit baru diseludup dari negara jiran dan untuk pasaran tempatan sempena perayaan nanti,” katanya semalam ketika ditemui di pejabatnya.

Salleh juga memaklumkan pihaknya percaya penyeludup mengambil kesempatan sempena Ramadan untuk membawa masuk barangan larangan ke Malaysia untuk keperluan perayaan nanti.

“Kami juga mendapati penyeludup ini menggunakan jalan yang sukar dikesan pihak berkuasa namun kami ingin memberi peringatan bahawa jabatan tidak akan berkompromi dengan kesalahan menyeludup,” katanya.

Beliau menjelaskan, mercun dan bunga api adalah barangan larangan import dengan Cukai Import 50 peratus dan Cukai Jualan 10 peratus ia memerlukan permit dikeluarkan oleh Jabatan Polis.

No comments:

Post a Comment