Search This Blog

Monday, August 2, 2010

Rakyat Iran terbabit lagi, guna pula kargo udara

KUALA LUMPUR: Trend terbaru sindiket pengedaran dadah antarabangsa kali ini menggunakan kargo udara dikesan selepas polis menyerbu sebuah rumah di Sri Hartamas kelmarin dan merampas syabu seberat 113 kilogram bernilai RM24.86 juta.
Dalam serbuan di rumah mewah semi-D itu kira-kira jam 3 petang, seorang lelaki tempatan berumur 42 tahun dan seorang warga Iran berumur 26 tahun yang yang dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier untuk menyeludup dadah ke dalam negara ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman. Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Othman Harun berkata, hasil siasatan di dalam rumah itu, polis menemui lapan silinder yang setiap satu silinder mengandungi bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan kristal syabu seberat 14 kg setiap satu.
"Silinder yang diisytiharkan sebagai bungkusan ais ketika diperiksa kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) Sepang, tiba pada 30 Julai lalu," katanya sambil menambah bahawa operasi itu turut mendapat kerjasama Biro Narkotik Pusat Singapura.

Beliau berkata, wang tunai milik warga Iran berjumlah RM260,000 dan sebuah kereta Mercedez Benz E250 yang dipercayai baru sahaja dibelinya bernilai RM550,000 turut dirampas dalam serbuan rumah mewah yang disewakan sebanyak RM13,000 sebulan itu.

Polis percaya dadah itu untuk pasaran antarabangsa dan tempatan.

"Kita akan menyiasat penglibatan lelaki tempatan itu dengan suspek warga Iran tersebut. Kita juga dalam siasatan bagi mengesahkan kargo itu dari negara mana. Saki baki anggota sindiket terbabit sekirany ada akan ditahan ," katanya.

Othman berkata, pihaknya juga akan menyiasat tempoh penglibatan sindiket terbabit serta kaitannya dengan satu lagi serbuan yang turut melibatkan warga Iran di sebuah rumah di Kepong pada 22 Julai lalu.

Beliau berkata, pembabitan warga Iran yang ditahan dalam serbuan-serbuan sebelum ini menunjukkan mereka bukan sahaja menjadi kurier tetapi turut menjadi anggota sindiket.

"Kita lihat warga Iran bukan sahaja terbabit dalam sindiket, ada yang bertindak sebagai kurier. Kurier ini pun turut terbabit dalam sindiket tetapi tidak secara langsung dan mereka dibayar," katanya.-Bernama

No comments:

Post a Comment