Search This Blog

Monday, August 30, 2010

Pukul penduduk selepas ditegur

AMPANG: Berlagak samseng. Itu tindakan seorang lelaki yang bukan saja cuba membuat bising dengan sengaja membunyikan enjin motosikalnya dengan kuat tanpa tujuan, malah dia turut membelasah seorang penduduk yang menegur perbuatannya itu dalam kejadian di Bandar Baru Ampang, di sini, Rabu lalu.
Lebih kurang ajar apabila dia yang tidak berpuas hati kerana perbuatannya ditegur memanggil beberapa rakan membelasah mangsa hingga cedera di muka dan tangan.
Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi ketika mangsa bersama bapa saudaranya berbual berhampiran rumahnya sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal dan cuba mengganggu dengan membuat bising melalui ekzos motosikalnya dengan kuat.

“Mangsa cuba menegur perbuatan lelaki terbabit kerana ketika itu sudah awal pagi dan perbuatannya itu mengganggu ketenteraman orang lain yang mahu tidur.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit tidak berpuas hati dan dia menolak mangsa membuatkan mangsa mula naik angin dan melepaskan tumbukan,” katanya.

Menurutnya, kerana tidak berpuas hati lelaki terbabit membalas tumbukan dan berlaku pergelutan sebelum ia dileraikan beberapa saudara mangsa.

“Lelaki terbabit beredar manakala mangsa masuk ke rumah dan meneruskan perbualan bersama bapa saudaranya.

“Bagaimanapun, kerancakan mereka berbual terganggu sekali lagi apabila lelaki terbabit datang ke rumah mangsa dengan membawa tiga rakannya,” katanya.

Sumber terbabit berkata, sejurus terlihat kelibat mangsa, lelaki itu bersama rakannya secara membabi buta menyerang mangsa dengan membelasahnya menggunakan topi keledar.

“Bagaimanapun, bapa saudara mangsa sekali lagi masuk campur dan mententeramkan keadaan sebelum mangsa berlari masuk ke rumahnya.

“Ketika itu, mangsa menghubungi polis dan semua suspek masih berada di kawasan rumah berkenaan,” katanya.
Menurut sumber itu, susulan aduan terbabit anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menahan tiga suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan penahanan semua suspek.

No comments:

Post a Comment