Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Premis makanan guna produk China

IPOH: Sebuah premis makanan di bandar raya ini diserbu penguat kuasa selepas dikesan menggunakan bahan meragukan dipercayai tidak halal dalam masakannya termasuk mengandungi alkohol dalam operasi bersepadu, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, premis menyediakan makanan laut segar sebagai menu utama itu dikesan menggunakan bahan masakan tidak halal selepas menemui bahan berkenaan di dapur restoran itu.
Ketua Unit Perihal Dagangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak, Amer Mansor berkata, serbuan dilakukan selepas menerima aduan orang awam yang meragui status makanan dihidangkan ‘bufet Ramadan’ di premis berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bahagian dapur premis terbabit menyimpan bahan masakan mengandungi alkohol dan kebanyakannya produk keluaran China.

“Kami mengambil sebahagian sampel bahan makanan itu untuk dikaji bagi mengenal pasti bahan terkandung di dalamnya,” katanya. Katanya, pihaknya menemui salinan sijil halal ayam digunakan premis berkenaan, manakala sijil halal bagi restoran itu tidak ditemui.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 15 (2) Akta Perihal Dagangan 1972 yang boleh didenda RM250,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan kedua.

“Operasi ini yang pertama dilaksanakan dan berterusan sepanjang Ramadan bagi mengelakkan pengguna beragama Islam terpedaya dan ragu-ragu dengan tawaran sama,” katanya.

Katanya, setakat ini, tidak ada tindakan diambil terhadap pemilik restoran itu dan mereka dibenar menjalankan perniagaan seperti biasa, namun tidak dibenarkan menyambung promosi berbuka puasa.

Selain itu, katanya, pihaknya menyeru orang awam yang mempunyai maklumat dan ragu mengenai status penyediaan halal di sesebuah premis boleh menghubungi cawangan KPDNKK terdekat.

No comments:

Post a Comment