Search This Blog

Thursday, August 12, 2010

Polis percaya 20 tahanan Afghanistan berada di luar Sepang



KUALA LUMPUR 11 Ogos - Polis percaya semua 20 tahanan mangsa pemerdagangan manusia warga Afghanistan yang meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, pada 1 Ogos lalu, kini berada di luar daerah tersebut.
Ketua Polis Daerah Sepang, Supritendan Zahedi Ayub berkata, pihaknya telah menjalankan operasi besar-besaran di seluruh daerah tersebut sejak hari kejadian.
Beliau bagaimanapun yakin semua warga asing itu masih berada di dalam negara berikutan tiada tanda-tanda menunjukkan mereka melarikan diri di daerah tersebut.
"Polis sebelum ini telah mengerahkan lebih ramai anggota untuk meronda dan mengadakan sekatan jalan raya sejak hari kejadian.
"Meskipun gagal setakat ini, kita cuba sedaya upaya untuk terus mengesan tahanan-tahanan tersebut selagi mereka masih berada di kawasan berhampiran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang tinggal di sekitar daerah itu agar memaklumkan kepada polis jika mengesan kehadiran warga asing di kawasan mereka.
Dalam kejadian itu Depot Tahanan Imigresen KLIA Sepang, bolos buat kali kedua apabila 20 mangsa pemerdagangan manusia warga Afghanistan melarikan diri setelah tidak sampai dua bulan kejadian pertama berlaku.
Pada Jun lalu, semua 88 anggota dan pegawai Imigresen yang bertugas di depot tahanan itu ditukarkan serta-merta berikutan kejadian 16 mangsa pemerdagangan manusia dari Afghanistan dan Myanmar berjaya meloloskan diri.

No comments:

Post a Comment