Search This Blog

Tuesday, August 31, 2010

Polis Hong Kong siasat bas rampasan

MANILA 30 Ogos - Pakar forensik Hong Kong hari ini memeriksa bas yang dipenuhi kesan peluru di mana seorang perampas membunuh lapan pelancong di Manila minggu lalu, tatkala Filipina cuba menenangkan kemarahan China terhadap kejadian itu.
Penduduk Hong Kong melahirkan kemarahan sejak insiden 23 Ogos lalu yang menyaksikan bekas pegawai polis Filipina merampas bas yang dipenuhi pelancong Hong Kong dalam usaha mendapatkan balik kerjanya.
Hong Kong tidak puas hati terhadap operasi menyelamat dan rundingan yang gagal yang menyebabkan perampas itu menembak tawanannya, sebelum ditumpaskan oleh penembak tepat polis.
Presiden Benigno Aquino III telah mengarahkan siasatan menyeluruh ke dalam krisis itu dan tindak balas polis, dan hari ini, kerajaannya membenarkan pakar forensik Hong Kong untuk menjalankan siasatan mereka sendiri.
"Kami mahu menenangkan mereka dan menunjukkan kami tidak menyembunyikan apa-apa. Ini adalah ketelusan,'' kata jurucakap Polis Nasional Filipina, Agrimero Cruz.
Dibantu oleh penyiasat Filipina, pasukan Hong Kong menggunakan lampu suluh semasa memeriksa bahagian penumpang, mengambil gambar kesan tembakan dan tingkap yang berkecai. Seorang lagi memeriksa tayar yang ditembak polis bagi mengelakkan perampas menggunakan bas keluar dari kepungan polis.
Pasukan forensik itu enggan menjawab sebarang soalan daripada wartawan Filipina dan China.
Setiausaha Keadilan, Leila de Lima bertemu pegawai-pegawai Hong Kong hari ini. Penyiasat Filipina merancang untuk menyoal Datuk Bandar Manila, Alfredo Lim yang memantau rundingan tawanan dan juga wartawan yang menemubual perampas, Rolando Mendoza menerusi telefon pada hari kejadian. Mereka juga akan pergi ke Hong Kong untuk bercakap dengan mangsa-mangsa yang terselamat.
Tidak dapat dipastikan jika ia memadai untuk mengekang kemarahan di Hong Kong, yang telah melarang penduduknya daripada mengunjungi Filipina. Kira-kira 140,000 pelancong Hong Kong melawat Filipina setiap tahun dan beratus-ratus sudah membatalkan lawatan mereka selepas kejadian itu.
Kebimbangan juga ditimbulkan terhadap kemungkinan tindak balas ke atas lebih 100,000 warga Filipina yang bekerja di Hong Kong, kebanyakannya sebagai pembantu rumah. - AP

No comments:

Post a Comment