Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Pijak bapa tiri

AMPANG: “Walaupun hanya anak tiri, sampai hati dia menendang saya hingga terjatuh sebelum memijak kaki kanan saya hingga retak,” kata Salam Ahmad, 63, yang dibelasah anak tirinya ketika berada di Balai Polis Pandan Indah, Sabtu lalu.
SAKIT...Salam menunjukkan kakinya yang patah.
SAKIT...Salam menunjukkan kakinya yang patah.
Salam berkata, ketika kejadian dia bersama isterinya berada di balai polis berkenaan kerana mahu berbincang mengenai masalah peribadi.

“Saya ke balai kerana membuat laporan apabila isteri saya mengugut mahu membakar teksi saya selepas saya mengesyaki dia ada hubungan sulit kerana sering pulang lewat dari tempat kerja.

“Isteri dan anak tiri saya turut ke balai berkenaan kerana saya mahu berbincang dengan isteri bagi menyelesaikan masalah berkenaan secara baik,” katanya.

Namun, ketika itu anak tirinya, wanita berusia 30-an, tiba-tiba menghampiri dan menolak kepala Salam menyebabkan seorang anggota polis menegur perbuatan itu sambil meminta dia menghormati lelaki berkenaan walaupun hanya bapa tirinya.

Menurutnya, walaupun ditegur, wanita terbabit masih tidak dapat mengawal kemarahan dan menendangnya hingga terjatuh sebelum kaki kanannya dipijak.
Salam berkata, dia langsung tidak berdaya dan hanya merayu anaknya itu berhenti memijaknya sebelum anggota polis berkenaan sekali lagi masuk campur untuk mententeramkan keadaan.

“Saya hanya menahan kesakitan dan tidak berdaya melawan kudrat anak tiri saya itu, lebih-lebih lagi kerana saya ada masalah kesihatan akibat penyakit buah pinggang yang dialami sejak lima tahun lalu.
“Mujur seorang anggota polis cepat bertindak dan masuk campur sebelum mententeramkan anak tiri saya itu,” katanya.

Menurut Salam, selepas kejadian, isteri dan anak tirinya beredar tanpa mempedulikannya dan dia bernasib baik kerana anggota balai berkenaan memberikan bantuan.

“Pada mulanya saya enggan melaporkan kejadian itu kerana tidak mahu memanjangkan kes, namun atas nasihat beberapa anggota polis dan kecederaan yang dialami membuatkan saya terpaksa membuat laporan,” katanya.

Berikutan itu, Salam dimasukkan ke hospital kerana retak kaki kanan selain beberapa kecederaan di tangan.

Warga emas itu dibenarkan keluar dari hospital semalam dan dia yang menghidap penyakit buah pinggang ditemui di sebuah pusat dialisis di Ampang ketika mendapatkan rawatan.

Salam berkata, dia terkilan dengan perbuatan anak tirinya itu yang sanggup menendang dan memijak orang tua sepertinya tanpa belas kasihan, lebih-lebih lagi dalam situasi dirinya yang lemah kerana menanggung penderitaan akibat penyakit buah pinggang.

“Sejak usianya setahun, dia tinggal bersama saya, namun ini balasan yang diterima dan saya kecewa dengan tindakan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan Salam.

No comments:

Post a Comment