Search This Blog

Thursday, August 12, 2010

Persiapan puasa, raya musnah



Kuarters didiami dua kakitangan PPK musnah dalam kebakaran di Sri Kerdau, Temerloh, kelmarin.


TEMERLOH 11 Ogos – Segala persiapan untuk menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang dilakukan oleh dua kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) musnah apabila kuarters yang mereka diami, musnah dalam kebakaran di Sri Kerdau dekat sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, segala dokumen penting dan harta benda milik kedua-dua kakitangan terbabit musnah membabitkan kerugian kira-kira RM40,000.
Salah seorang mangsa, Kamarul Zaman Yahya, 34, ketika ditemui memberitahu, semasa kejadian, dia dan isterinya, Nor Diana Abdul Rahim, 23, baru sahaja meninggalkan rumah untuk menghantar anak bongsunya ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini kerana demam.
Katanya, dia menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut ketika sedang menunggu giliran anaknya mendapatkan pemeriksaan doktor.
“Saya tergamam apabila diberitahu rumah terbakar. Saya bergegas pulang ke rumah dan apabila sampai, saya lihat anggota bomba sedang memadam kebakaran dan saya tidak sempat menyelamatkan semua dokumen penting dan harta benda lain,” katanya.
Kamarul Zaman memberitahu, dia mengalami kerugian kira-kira RM30,000 dan menganggap ia sebagai ujian terutama ketika bersiap sedia menyambut Ramadan.
Dia yang reda dengan musibah itu bagaimanapun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.
Seorang lagi mangsa, Zulkifli Yusuf, 27, berkata, semasa kebakaran itu, dia sedang menikmati sarapan bersama rakan sekerjanya di pejabat.
Katanya, dia kemudian dihubungi seorang rakan sepejabat berhubung kejadian itu..
“Saya bergegas pulang dan melihat api sedang marak. Namun, saya sempat menyelamatkan sebahagian daripada dokumen penting.
“Saya menganggarkan mengalami kerugian RM10,000,” katanya.
Sementara itu, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh tiba di tempat kejadian untuk memadam kebakaran kira-kira pukul 10.05 pagi dan api berjaya dipadamkan dalam masa 30 minit.
Jurucakap bomba berkata, pihaknya sedang menyiasat punca kejadian tersebut.
Pengurus PPK Sri Kerdau, Abdul Razak Kasim pula berkata, tiga daripada lima unit rumah dalam kuarters tersebut terselamat dalam kebakaran itu.
Katanya, pihaknya bersimpati dengan apa yang menimpa dua kakitangan PPK itu dan gerakan mengutip derma kilat dijalankan bagi membantu meringankan beban mangsa.
“Mereka akan ditempatkan di dua kuarters yang masih kosong supaya dapat menyambut kedatangan bulan puasa dengan sempurna,” katanya.

No comments:

Post a Comment