Search This Blog

Monday, August 30, 2010

Pengawal keselamatan dipenjara sehari, denda RM9,000 kerana terima RM4,700



SHAH ALAM - Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menerima wang tunai RM4,700 untuk mendorong seorang pegawai kastam melepaskan empat unit radiator water cooler yang diimport dari India, enam tahun lepas. 

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh memerintahkan tertuduh S.Vetrivelu, 48, dipenjarakan enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di No: 59, Tingkat 1, Jalan 5/10B, Spring Crest Industrial Park, Batu Caves, Gombak, kira-kira pukul 5 petang pada 24 Sept 2004.

Dia didakwa mengikut Seksyen 162 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Fakta kes menyebut, Vetrivelu yang bertindak sebagai orang tengah, telah diminta oleh seorang peniaga, M.Veerapan untuk mengeluarkan empat unit radiator water cooler dari Pelabuhan Klang.

Tertuduh kemudian meminta seorang pengarah urusan sebuah syarikat, M.Mani Segar untuk berurusan dengan pejabat kastam Pelabuhan Klang bagi mengeluarkan barangan itu.

Selepas dua kali berurusan, Mani Segar berjaya membawa keluar radiator tersebut tanpa dikenakan bayaran cukai oleh Kastam. 

Vetrivelu kemudian meminta RM4,700 daripada Veerapan kononnya sebagai bayaran kepada pihak Kastam kerana mengeluarkan radiator itu.

Veerapan seterusnya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tertuduh telah ditahan semasa wang itu diserahkan kepadanya pada hari kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Ng Siew Wee sementara tertuduh diwakili peguam Gerard Lazarus.

No comments:

Post a Comment