Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Penduduk Gaza hanya harap kupon untuk isi perut

KUALA LUMPUR: Penduduk Gaza, Palestin memerlukan sumbangan rakyat Malaysia bagi memulihkan kembali wilayah itu akibat peperangan yang tiada kesudahan dan hingga kini lebih 80 peratus rakyatnya masih menganggur dengan hanya menunggu bantuan makanan dunia setiap hari.
Pengerusi Pertubuhan Islamic Palestin Bandar Jabalia, Abdalrahim M Shehab berkata, setiap hari penduduk negaranya menghadapi kesukaran akibat tiada kerja dan hanya mendapat kupon sebelum memperoleh agihan makanan.
“Kita perlu bantuan dan simpati rakyat Malaysia bagi membangunkan kembali lima sektor penting Palestin termasuk aktiviti sosial, pendidikan, kesihatan, pertanian dan ekonomi,” katanya ketika ditemui pada sidang media penerangan terkini berkaitan keperluan rakyat Gaza oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Balai Berita, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Agung Abim, Mohamad Raimi Ab Rahim; Ketua Pegawai Eksekutif Misi Keamanan Dunia (GPM), Mohd Asri Abdul dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid.

Abdalrahim berkata, setiap hari penduduk Gaza terutama pelajar sekolah terpaksa menghadapi situasi sukar untuk ke sekolah dengan berjalan kaki sejauh lapan kilometer melalui cebisan bangunan runtuh.

“Untuk itu, kita mahu membina kembali sektor pendidikan Gaza bagi memberi ilmu kepada pelajar yang kini berada dalam kesusahan dan kemiskinan,” katanya.

Mohamad Raimi berkata, sempena Ramadan ini, pihaknya berusaha mengumpul dana sebanyak RM150,000 untuk disumbangkan kepada Gaza. Katanya, pihaknya melancarkan Tabung Pendidikan dan Kemanusiaan Palestin Abim dengan kerjasama Berita Harian yang dilancarkan awal Ogos lalu untuk memberi bantuan kepada Gaza. “Hingga kini, sejumlah RM17,000 dikumpulkan untuk diagihkan kepada Gaza untuk bantuan Ramadan ini dan berharap orang ramai sudi memberi sumbangan yang boleh disalurkan ke akaun RHB Islamic, 21401360010196,” katanya.

No comments:

Post a Comment