Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Pencuri ajak polis bertumbuk

SUBANG JAYA: Dua lelaki bukan saja membelasah seorang pemandu van berusia lewat 30-an, malah turut mengugut dan mencabar dua anggota polis untuk bertarung dengan mereka di sini, kelmarin.
Tindakan biadab suspek berusia awal 20-an itu berlaku selepas kurang 10 minit mereka melarikan sebuah kereta mewah Honda Accord milik seorang pengusaha bengkel kenderaan di kawasan perindustrian di sini.
Kejadian kira-kira jam 7 malam itu bermula apabila seorang daripada suspek yang memandu kereta Perodua Myvi terlanggar sebuah van dari belakang ketika baru selesai mencuri sebuah kereta bersama rakannya.

Menurut sumber, suspek dan mangsa berhenti di bahu jalan untuk berunding sebelum dua anggota polis yang membuat rondaan di kawasan berkenaan berhenti di tempat kejadian.

“Anggota polis berkenaan memeriksa kad pengenalan kedua-dua suspek sebelum cuba menyelesaikan masalah terbabit,” katanya.

Sumber berkata, lima minit kemudian seorang lelaki dipercayai rakan suspek tiba di tempat kejadian.

“Rakan suspek yang memandu kereta mewah yang baru dilarikan itu berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku sebelum mengarahkan anggota polis berkenaan mendiamkan diri.

“Lelaki terbabit mencapai topi keledar milik seorang daripada anggota polis itu untuk membelasah mangsa,” katanya.

Sumber berkata, kedua-dua anggota polis berkenaan cuba meleraikan kejadian itu, namun lelaki terbabit mengamuk sebelum cuba menyerang anggota polis berkenaan sebelum mencabar mereka untuk bertarung.

“Suspek bertambah berang sebelum merampas walkie-talkie milik anggota polis berkenaan ketika cuba untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Beliau berkata, anggota polis berkenaan cuba menenangkan kedua-dua suspek.

No comments:

Post a Comment