Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Pejabat kerap dipecah masuk

PETALING JAYA: Peniaga dan penyewa lot pejabat di Bandar Sunway di sini, kini kebimbangan berikutan kejadian pecah pejabat yang semakin kerap dilaporkan di kawasan berkenaan sejak akhir ini hingga mengganggu tumpuan mereka melakukan urusan harian.
Kejadian itu dipercayai ada kaitan dengan kebanjiran pekerja asing yang sering berkeliaran di kawasan berkenaan. Difahamkan, kejadian berlaku pada awal pagi antara jam 1 hingga 5 pagi ketika premis kosong dan penduduk berhampiran tidur nyenyak.
Tinjauan Metroplus di kawasan berkenaan mendapati, pintu di beberapa pejabat diumpil dengan besi menyebabkan pintu rosak.

Mangsa, Jason Hee, berkata tidak sampai setahun pejabat syarikatnya beroperasi di situ, sudah tiga kali pejabatnya dimasuki pencuri dan terbaru pada minggu lalu menyebabkan kehilangan lebih 25 komputer dan komputer riba. Katanya, akibat kejadian itu dia mengalami kerugian lebih RM10,000 dan tiga laporan polis sudah dibuat.

“Walaupun saya memasang kamera litar tertutup (CCTV), suspek sangat licik apabila mengalihkan CCTV itu hingga menyebabkan kami tidak boleh mengesan mereka.

“Saya tidak tahan dengan keadaan ini kerana menyebabkan pintu rosak serta kehilangan harta benda,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Pekerja swasta, Nor Azhara Zulkifli, 23, berkata kebanyakan pejabat di kawasan itu dimasuki pencuri yang dipercayai menggunakan besi untuk membuka pintu pejabat dengan mudah.

Katanya, keadaan itu menimbulkan ketakutan di kalangan pekerja kerana selain kes pecah pejabat, ada juga kes ragut berlaku di kawasan itu terutama pada waktu malam.

“Saya minta pihak berkuasa membuat pemantauan di kawasan ini kerana terlalu kerap berlaku jenayah.

“Saya juga berharap polis meletakkan CCTV di kawasan ini yang menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk membeli barangan keperluan harian,” katanya.

Nor Azhara berkata, kejadian itu kini menjadi ancaman kepada pekerja di kawasan itu dan dia khuatir berlaku kejadian lebih buruk lagi pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment