Search This Blog

Tuesday, August 10, 2010

Pantau pengemis



Oleh Nor Hartati Azhari
bhnews@bharian.com.my
2010/08/10

Penduduk khuatir ada sindiket perguna OKU, kanak-kanak 

SENAWANG: Kegiatan meminta derma dengan menggunakan sehelai kertas sebagai bukti mereka mewakili pertubuhan tertentu dilihat semakin berleluasa di daerah ini hingga menimbulkan rasa tidak selesa masyarakat.
Bagi menjadikan aktiviti seperti itu lebih berkesan, golongan kanak-kanak, remaja dari luar negara seperti Thailand dan Filipina dan orang kurang upaya (OKU) seperti cacat penglihatan, sering dipergunakan supaya orang ramai simpati dan tanpa ragu-ragu menghulurkan wang yang tidak pasti disalurkan ke mana selepas itu.
Tinjauan Berita Harian sekitar restoran di bandar ini mendapati golongan berkenaan akan datang dengan sehelai kertas dan gambar persatuan yang didakwa memerlukan bantuan kewangan. 

Namun, perbuatan itu menimbulkan persoalan adakah mereka tidak memperoleh dana daripada kerajaan untuk menyokong persatuan mereka atau ia mungkin helah sindiket yang bersembunyi di sebalik kesusahan golongan tidak bernasib baik. 

Selain itu, faktor masyarakat Malaysia yang bermurah hati dan sanggup memberi sumbangan membuka ruang kepada individu atau kumpulan tertentu mengambil kesempatan meraih pendapatan mudah. 

Pembantu restoran, Rozana Ahmad, 38, berkata setiap hari pasti ada orang yang datang ke premisnya bekerja sama ada untuk mengemis, meminta derma sambil memberikan kupon persatuan atau menjual barangan seperti buku agama dan kaligrafi. 
“Kebanyakan mereka adalah kanak-kanak dan orang tua yang mengganggu keselesaan pelanggan di sini tetapi saya tidak sampai hati mengusir kerana simpati melihatkan keadaan mereka. 

“Saya percaya setiap pergerakan mereka pasti diawasi dari jarak jauh oleh seseorang yang mungkin menjadi dalang kegiatan tidak bermoral ini. Ada pihak mengatakan pendapatan mereka boleh mencecah hingga RM100 sehari,” katanya ketika ditemui di sini. 

Pekerja swasta, Siti Fatimah Saliman, 25, menyifatkan tindakan pihak yang mempergunakan kanak-kanak dan golongan OKU sebagai alat untuk mendapatkan wang dengan mudah, tidak wajar kerana mereka sepatutnya berada di sekolah, bukan berkeliaran ke sana sini meminta derma. 

“Saya sudah naik bosan dengan kehadiran golongan seperti ini. Sudah berkali-kali diberi duit, mereka tetap datang bagi meraih simpati orang walaupun tahu dipergunakan pihak tertentu,” katanya. 

Pemilik restoran, Abdul Hadi Ibrahim, 35, berkata perkara itu bukan isu baru dan walaupun sudah banyak kali pihak berkuasa melakukan operasi membanteras kegiatan berkenaan, ia tetap wujud dan semakin menjadi-jadi. 

“Baru-baru ini, saya didatangi oleh sekumpulan peminta derma yang mendakwa mereka datang dari Filipina untuk mengutip dana bagi sebuah persatuan orang kurang upaya di negara itu. Saya pelik mengapa mereka sanggup datang hingga ke sini dan patutkah mereka dibantu kerana ramai lagi orang susah di negara ini yang perlu diberi perhatian. 

“Sehubungan itu, pihak berkuasa harus sentiasa memantau kegiatan ini dengan lebih ketat dari semasa ke semasa bagi menghalang sindiket yang mempergunakan golongan OKU dan kanak-kanak bagi mendapatkan wang dengan cara mudah,” katanya.

No comments:

Post a Comment