Search This Blog

Monday, August 2, 2010

Pakistan banjir: 1,100 maut

PESHAWAR: Penyelamat bertungkus-lumus menyelamatkan lebih 27,000 orang yang masih terperangkap akibat banjir besar di wilayah Khyber-Pakhtoonkhwa yang setakat ini mengorbankan lebih 1,100 orang serta memusnahkan ribuan rumah.
Operasi itu menjadi sedikit mudah apabila hujan monsun yang menyebabkan banjir terburuk dalam tempoh berdekad-dekad di situ berkurangan.
Bagaimanapun, ketika air semakin surut, barulah pasukan penyelamat menyedari betapa dahsyatnya bencana itu.

Jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah, Latifur Rehman, berkata pemantauan dari udara sedang dilakukan dan banyak perkampungan lenyap dibawa arus.

“Haiwan ternakan pula lemas, manakala stor makanan dihanyutkan air,” katanya.

Ketua Unit Penyelamat Yayasan Edhi, Mujahid Khan, berkata jumlah korban akibat bencana itu meningkat kepada 1,100 orang.

Katanya, kawasan paling teruk dilanda banjir adalah daerah Swat dan Shangla apabila lebih 400 orang terkorban.

Bencana itu berlaku ketika penduduk Swat masih cuba memulihkan kehidupan seharian selepas berlaku pertempuran sengit di antara tentera kerajaan dan pejuang Taliban, baru-baru ini.

Konflik itu menyebabkan kira-kira dua juta orang menjadi pelarian dan kini ada sejuta lagi masih tiada tempat tinggal.

Latifur Rehman berkata, kerajaan menghantar 43 helikopter tentera dan lebih 100 bot untuk menyelamatkan kira-kira 27,300 orang yang masih terperangkap.

“Sekurang-kurangnya 115 orang masih hilang di Swat dan Shangla,” katanya.
Latifur Rehman berkata, semua usaha dilakukan untuk menyelamatkan mangsa yang terputus hubungan di sesetengah kawasan.

Jurucakap tentera pula berkata, kira-kira 30,000 tentera dikerah ke kawasan bencana dan berjaya memindahkan 19,000 mangsa menjelang malam kelmarin. Walaupun begitu, sesetengah penduduk mengecam langkah kerajaan menyelamat mangsa bencana itu, semalam.

Penduduk Charsadda, Hakimullah Khan, berkata dia kehilangan anggota keluarganya.

“Hingga kini saya tak tahu di mana mereka dan penyelamat tidak membantu saya mencari,” katanya. Sehar Ali Shah pula berkata, walaupun bersyukur diselamatkan, dia kecewa kerana tidak disediakan tempat berlindung sementara menunggu air surut.

No comments:

Post a Comment