Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Padah bohong di mahkamah

KOTA BHARU: Seorang peniaga kedai runcit didenda RM10,000 dan sehari penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas mengaku salah memberi keterangan palsu berhubung kes politik wang yang sedang dibicara di mahkamah sama pada 16 Mac lalu.
Hakim Rofiah Mohamad mengenakan denda itu terhadap Mohammad Harun, 51, dan hukuman penjara dua tahun menanti tertuduh yang juga bekas ketua cawangan sebuah parti politik jika gagal membayar denda terbabit.
Keputusan berkenaan dijatuhkan Rofiah selepas mempertimbangkan rayuan peringanan hukuman dipohon peguam bela tertuduh, Zahari Kechik, serta mengimbangi faktor pemberatan hukuman dikemukakan pihak pendakwaan.

“Mohamad, selepas mahkamah mempertimbangkan hujahan peguam kamu, pemberatan hukuman pihak pendakwaan dan mengambil kira latar belakang kamu, maka mahkamah perlu menjatuhkan hukuman wajar.

“Dalam situasi kamu pada hari ini (mengaku salah) mahkamah mengenakan denda RM10,000 dan jika gagal bayar, berdepan hukuman penjara dua tahun dan sehari penjara,” katanya ketika menjatuhkan hukuman.

Terdahulu, Zahari dalam rayuannya memohon mahkamah mengambil kira latar belakang anak guamnya yang mempunyai 10 anak termasuk tujuh masih bersekolah selain pengakuan salah yang menjimatkan masa dan kos mahkamah.

“Tertuduh sekarang menjalankan perniagaan runcit kecil-kecilan di rumah dan menghantar barangan dapur kepada pelanggan. Sekarang tertuduh aktif dalam politik dan pernah menyandang jawatan ketua cawangan sebuah parti politik.

“Anak guam juga insaf dan lebih berhati-hati selepas ini. Mahkamah juga perlu mengambil kira tertuduh memiliki tujuh anak yang masih bersekolah selain akan cuba menghindarkan permainan politik yang tidak sihat kerana menjadi mangsanya,” katanya.

Mendengar rayuan terbabit, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Zakiah Che Mat, menyerahkan kepada budi bicara mahkamah mengenakan hukuman wajar ke atas tertuduh berdasarkan pengakuan salah terbabit.

“Isu dikatakan pihak pembelaan bahawa saksi dipaksa adalah pandangannya semata-mata dan harus dibuktikan sekiranya ingin membuat penyataan sedemikian. Ini kerana sikap sebahagian pihak sebeginilah yang menyebabkan SPRM hadapi masalah di mahkamah seterusnya menjejaskan kes SPRM,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohammad dari Pengkalan Kubor, Tumpat, didakwa memberi keterangan berbeza berhubung satu kes dibicarakan di Mahkamah Sesyen 2, dekat sini, membabitkan kes Mohd Anuwari @ Mohd Solleh Mohamad.
Mohammad didakwa memberi keterangan pada jam 2.45 petang: ‘Anuwari datang bayar wang saya sebanyak RM400. Dia berhutang dengan saya’, sedangkan pernyataan itu tidak selaras dengan diberikan kepada Penyiasat Syamsul Ariffin Othman.

Ketika pegawai terbabit menjalankan kuasa di bawah Seksyen 22 (8) Akta Pencegahan Rasuah 1997, keterangannya: ‘Encik Anuwari Muhamad datang ke rumah saya. Beliau menyerahkan wang sebanyak RM400 kepada saya. “Saya tidak tahu dari mana dia mendapat wang itu. Tujuan wang terbabit diserahkan adalah untuk diagihkan kepada ketua-ketua cawangan.” Bagi pertuduhan itu, Mohammad didakwa mengikut Seksyen 27 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Kesalahan itu, Mohammad berdepan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

No comments:

Post a Comment