Search This Blog

Thursday, August 12, 2010

Nama diperalat beli kenderaan

PUCHONG: Seorang wanita terkejut apabila namanya digunakan sebagai penjamin oleh sepasang suami isteri untuk membeli kereta tanpa kebenarannya dan pinjaman berkenaan pula diluluskan pihak bank.
Mangsa, Siti Darwisa Azis, 26, berkata, dia merasa ditipu apabila pihak bank baru-baru ini memaklumkan dirinya menjadi penjamin sedangkan tidak pernah bersetuju berbuat demikian. “Pada Rabu lalu, saya menerima surat dari bank mengatakan saya penjamin kepada kereta berkenaan. Saya hairan bagaimana pihak bank meluluskan pinjaman kereta berkenaan sedangkan saya tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian sebagai penjamin,” katanya.
Difahamkan, dia yang ke pejabat bank berkenaan di Ampang untuk mendapatkan penjelasan terkejut dengan maklum balas diberikan.

“Pihak bank berkenaan seperti tidak mahu bertanggungjawab dalam soal ini, malah menyuruh saya membuat surat tunjuk sebab, mereka sepatutnya selidik terlebih dulu latar belakang peminjam, bukan terus luluskan saja. “Saya takut disenaraihitamkan pihak bank jika mereka (pemilik kenderaan) tidak mampu membayarnya. “Ramai rakan saya mengalami situasi begini, terpaksa menanggung beban hutang gara-gara pemilik kenderaan tidak mampu membayar duit bulanan,” katanya.

Siti Darwisa turut membuat laporan polis kerana mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena antara pemilik kenderaan, jurujual kereta dan pihak bank berkenaan. “Saya percaya ketiga-tiga pihak terbabit bersubahat dan harap sangat pihak bank dapat buat sesuatu terhadap kes ini,” katanya ketika ditemui. Dia mendakwa dirinya turut menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan dan lucah daripada pemilik kenderaan berkenaan. “Saya mengenali pasangan suami isteri ini (pemilik kenderaan), mereka dahulunya rakan sekerja saya, tetapi selepas menceburi diri dalam bidang perniagaan, saya berhenti kerja. Saya terima SMS daripada mereka meminta menarik semula laporan polis yang dibuat,” katanya. Siti Darwisa berkata dia enggan berbuat demikian kerana merasakan haknya sudah dicabuli pihak berkenaan yang tidak bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment