Search This Blog

Thursday, August 12, 2010

Murid tabika mati digilis

IPOH: Seorang budak perempuan berusia enam tahun yang dalam perjalanan ke taman tabika terbunuh apabila digilis sebuah kereta sebaik tercampak atas jalan selepas basikal dinaiki bersama ibunya dirempuh, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi di Jalan Perpaduan Selatan, Bercham, mangsa yang belum dikenali identitinya maut akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rejab berkata, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan menerima rawatan kecemasan di sebuah klinik di Tanjung Rambutan di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila basikal ditunggang ibu mangsa bergesel dengan kereta jenis Proton Wira dari arah Taman Malar menuju ke Jalan Perpaduan Selatan.

“Akibat geselan itu, mangsa bersama ibunya terjatuh di atas jalan sebelum kereta berkenaan merempuh dan menggilis mangsa menyebabkannya mengalami kecederaan serius di kepala dan beberapa bahagian badan.

“Ibu mangsa, Khoo Lee Chwan, 33, dari Kampung Bercham dikatakan dalam perjalanan menghantar mangsa ke sebuah tabika berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa mengalami pendarahan serius di kepala dipercayai digilis tayar kereta terbabit dan cedera di beberapa bahagian badan akibat tercampak.

“Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan menerima rawatan di klinik berdekatan manakala ibunya mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan kecemasan,” katanya.

No comments:

Post a Comment