Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Mayat berbungkus dalam but kereta dikenal pasti

KUALA LUMPUR: Identiti mayat yang ditemui berbungkus dalam but kereta, Isnin lalu dikenal pasti polis sebagai seorang lelaki bujang dikenali, Sham Sin Hock, 49, dari Jinjang Selatan di sini, yang dilaporkan hilang dari rumahnya sejak lebih seminggu lalu.
Maklumat terbaru itu sekali gus menolak andaian awal mangsa adalah pemilik kereta yang ditinggalkan tersadai berhampiran sebuah taman perumahan di Batu 3, Jalan Ipoh, di sini.
Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, polis berjaya mengesan alamat pemilik sebenar kereta itu sebelum pergi ke alamat sebuah rumah di Sungai Buloh, di sini. “Bagaimanapun, pemilik kereta terbabit masih hidup dan tiada kaitan dengan kes pembunuhan mangsa.

“Kita masih menyiasat motif pembunuhan mangsa yang masih bujang serta tidak mempunyai pekerjaan tetap. Selain itu mangsa tidak memiliki rekod jenayah,” katanya.

Dia meminta ahli keluarga mangsa tampil untuk membantu siasatan polis berikutan mayat mangsa belum dituntut sehingga kini.

Selasa lalu, akhbar ini melaporkan mengenai penemuan mayat seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang ditemui berbungkus dalam but sebuah kereta yang ditinggalkan di sebuah taman perumahan.

Difahamkan, mangsa dibunuh di tempat lain sebelum ditinggalkan di lokasi kejadian dipercayai sejak tiga hari sebelum itu.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, seorang penduduk di kawasan berkenaan yang curiga selepas terhidu bau busuk menghubungi pihak berkuasa bagi melaporkan kejadian berkenaan.

No comments:

Post a Comment