Search This Blog

Tuesday, August 10, 2010

Maut ditikam tiga kali



MUAR – Tindakan seorang lelaki yang membakar mercun di hadapan pintu utama pusat hiburan di bandar ini mengundang padah apabila ditikam dalam satu pergaduhan di sini, awal pagi semalam. 

Mangsa, Tan Meng Liong, 43, ditemui mati oleh orang awam dalam keadaan terbaring di pekarangan kawasan tempat letak ke�reta hadapan Hotel Pelangi, di sini. 

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan membawa dua mercun, yang mana salah satu daripada mercun itu berjaya diletupkan di hadapan pusat hiburan tersebut. 

Menurutnya, pada masa sama, mangsa turut membawa parang dikatakan cuba hendak memasuki pusat hiburan berkenaan. 

Namun disebabkan keadaan mangsa yang mencurigakan dan bersenjata mendorong pekerja di situ menghalang mangsa daripada memasuki pusat hiburan tersebut. 

“Tindakan itu menyebabkan mangsa naik berang sehingga tercetusnya pergaduhan dengan beberapa pekerja juga pengunjung di pusat hiburan di situ. 

“Mangsa bertindak agresif sebelum berlaku pergelutan di antara mereka dan gagal menyelamatkan diri. Dia ditikam dengan pisau tiga kali di belakang badannya,” katanya. 

Mangsa yang berlumuran darah kemudian dicampakkan ke pekarangan kawasan tempat letak kereta. 

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang bersenjatakan parang itu mempunyai masalah mental menyebabkan dia dihalang memasuki pusat hiburan tersebut. 

“Mangsa juga mempunyai rekod jenayah lampau iaitu dadah dan pernah ditangkap. 

“Parang yang dibawa mangsa dijumpai disembunyikan suspek di dalam longkang berhampiran dengan tempat kejadian,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam. 

Mohamad Nasir berkata, hasil siasatan, polis berjaya menahan enam suspek. 

“Kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan 24 tahun hingga 55 tahun disyaki terlibat dalam pembunuhan ini. 

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula dari hari tangkapan hingga 16 Ogos depan untuk membantu siasatan,” katanya. 

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh

No comments:

Post a Comment