Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Mat Gian bakar gerai

IPOH: Sekumpulan individu dipercayai Mat Gian bukan saja menceroboh masuk dan menyelerakkan peralatan memasak tujuh lot gerai makan di Pasar Besar Ipoh di sini, malah turut membakar dua gerai berkenaan dalam satu kejadian di sini, semalam.
Selain itu, individu tidak bertanggungjawab terbabit turut menyelongkar peti makanan dan stor gerai berkenaan menyebabkan peniaga menanggung kerugian.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, dua lot gerai makan terbakar manakala tujuh lain dipecah masuk menyebabkan beberapa peralatan memasak termasuk kelengkapan dapur dua peniaga musnah membabitkan kerugian lebih RM1,000.

Seorang saksi yang juga peniaga di pasar itu dikenali sebagai Cheong, 58, berkata dia tiba di gerainya kira-kira jam 2.30 pagi bagi membuat persiapan berniaga sebelum mendapati dua lot gerai terbakar.

Katanya, terkejut dengan kejadian itu, dia memanggil pengawal keselamatan bertugas sebelum menghubungi polis dan bomba.

“Sebelum bomba tiba, saya bersama pengawal keselamatan sempat mengalihkan beberapa tong gas dalam gerai terbakar bagi mengelakkannya meletup.

“Biarpun hanya kebakaran kecil, jika tidak disedari sesiapa, mungkin memusnahkan keseluruhan lebih 30 gerai makan di pasar ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, selain dua gerai terbabit, dia mendapati beberapa gerai berdekatan juga terdapat kesan ceroboh dengan beberapa kelengkapan dapur termasuk bahan memasak disimpan dalam stor makanan berselerak dan terbiar atas lantai.

Sementara itu, Pengerusi MCA Cawangan Pasar Besar Ipoh, Chan Kok Kee, berkata sebelum ini, beberapa kes pecah masuk sering berlaku di kawasan gerai berkenaan kerana wujud beberapa pintu masuk yang menghubungkan kawasan perniagaan itu.

Katanya, pihaknya menyeru Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) supaya membuka satu pagar saja terutama selepas waktu perniagaan bagi membolehkan pengawal keselamatan membuat pemantauan dan mengawal kemasukan individu tidak dikenali seterusnya mengekang kejadian pecah masuk sering berlaku di kawasan itu.

“Saya berharap MBI dapat menimbang cadangan itu sekali gus mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

No comments:

Post a Comment