Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Mangsa banjir Pakistan menderita





SEBAHAGIAN kanak-kanak dan wanita mangsa banjir dari Kampung Maher 92 kilometer dari Sukkur bersesak-sesak dalam sebuah bot setelah mereka diselamatkan oleh tentera laut Pakistan, semalam. - AFP



SUKKUR Pakistan 12 Ogos - Ramadan kali ini tidak memberi apa-apa makna selain kesengsaraan kepada berjuta-juta penduduk Pakistan yang menjadi mangsa banjir terburuk di negara ini, yang mengakibatkan ramai terkorban, rumah- rumah dihanyutkan dan berdepan penyakit berjangkit.
"Bagaimana kami mahu berbuka puasa apabila kami tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan," kata Sabhagi Khatoon, ibu kepada enam anak yang berteduh di lebuh raya berhampiran longkang yang kotor, yang menjadi satu-satunya sumber air minum bagi menghilangkan dahaga.
Berjuta-juta penduduk Pakistan yang hilang tempat tinggal selepas menyaksikan banjir menghanyutkan rumah serta tanaman mereka, terpaksa berlapar hari ini pada hari pertama ibadah puasa.
Khatoon meninggalkan kampungnya, Karampur menuju ke Sukkur, kira-kira 75 kilometer di selatan wilayah Sindh, selepas banjir yang menurut pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengakibatkan enam juta penduduk terpaksa bergantung kepada bantuan kemanusiaan untuk terus hidup.
"Kami tidak ada makanan serta hidup sehelai sepinggang. Kami kelaparan selama beberapa hari, jadi permulaan Ramadan tidak membawa kegembiraan kepada kami," katanya.
Kerajaan Pakistan berkata, seramai 14 juta rakyatnya terjejas secara langsung atau tidak langsung akibat banjir.
PBB memberi amaran, kanak-kanak merupakan mangsa paling terdedah dengan cirit-birit serta ancaman penyakit-penyakit lain. - AFP
Pihak berkuasa sebelum ini berjanji akan menyediakan makanan untuk mangsa banjir sepanjang Ramadan serta membayar ganti rugi kepada keluarga yang kematian sanak saudara, tetapi usaha itu memerlukan lebih banyak bantuan.
Sebuah badan amal Jamaat-ud-Dawa, yang berada dalam senarai hitam pengganas PBB, telah menimbulkan kebimbangan Amerika Syarikat (AS), turut menjanjikan bantuan juadah berbuka puasa kepada mangsa banjir dan operasi bantuan.

No comments:

Post a Comment