Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Malaysia bantu RM3.17 juta mangsa banjir terburuk di Pakistan



PUTRAJAYA 12 Ogos - Malaysia menunjukkan semangat setiakawan dan keprihatinan yang tinggi apabila menyalurkan sumbangan sebanyak AS$1juta (RM3.17 juta) kepada Pakistan bagi membantu meringankan beban 15 juta rakyatnya yang terjejas akibat banjir besar sejak bulan lalu.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot berkata, kerajaan hari ini juga melancarkan kutipan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Pakistan dengan mengalu-alukan orang ramai dan syarikat korporat menyalurkan sumbangan mereka ke Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri.
''Ini kerana banjir yang berlaku di Pakistan merupakan bencana yang paling buruk pernah dialami oleh negara itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan cek bagi pihak Kerajaan Malaysia kepada Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Kuala Lumpur, Dr. Imtiaz A. Kazi yang mewakili Kerajaan Pakistan di Wisma Putra hari ini.
Sehingga kini, bencana alam itu telah meragut sekurang-kurangnya 1,600 nyawa manakala dua juta lagi kehilangan tempat tinggal.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan hampir 15 juta penduduk terjejas setakat ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) juga telah menghantar pasukan bantuan kemanusiaan ke Pakistan.
Orang ramai yang bersimpati dengan penderitaan rakyat Pakistan boleh menyalurkan sumbangan melalui cek atas nama "Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri" dan dialamatkan kepada Ketua Akauntan, Kementerian Luar Negeri, No. 1 Jalan Wisma Putra, 62602, Putrajaya.
Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi Wisma Putra melalui talian 03-88874251 atau 03-88892924.

No comments:

Post a Comment