Search This Blog

Thursday, August 12, 2010

Leher hampir putus

GEORGETOWN: Hasrat seorang bapa yang pulang ke rumah untuk membawa anaknya ke sekolah tidak kesampaian apabila melihat tubuh anaknya berlumuran darah dalam biliknya di Blok 88C, Relau, di sini, semalam.
Dalam kejadian antara jam 7 hingga 10 pagi itu, mangsa, R Surendran, 13, ditemui mati dengan kesan kelar di leher sehingga hampir putus sebelum dibalut dengan kain.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) Pulau Pinang, Superintendan Mat Nasir Hussein berkata, ketika kejadian, mangsa berada seorang diri di rumah berikutan ibu, Dhanaketchumi, 30-an dan bapa, K Ramesh, 40-an keluar bekerja manakala kakak sulung mangsa ke sekolah.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal polis mendapati jiran mangsa melihat pintu depan rumah mangsa terbuka sedikit sebelum bertindak memanggil mangsa, namun tidak dijawab menyebabkan jiran terbabit menutup pintu rumah semula kerana menyangkakan mangsa tidur.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian, bapa mangsa pulang ke rumah kira-kira jam 1.30 tengah hari untuk membawa mangsa ke sekolah, namun terkejut melihat tubuh anaknya terbaring kaku dengan berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Beliau berkata, terkejut melihat keadaan anaknya, bapa mangsa terus menghubungi polis dan polis mengesyaki mangsa mati dibunuh.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati tiada kesan rompakan di rumah mangsa dan percaya mangsa mengenali suspek berikutan pintu rumah dibuka sendiri, malah tiada kesan pecah masuk ditemui.

Katanya, polis percaya berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek berikutan keadaan bilik berselerak sebelum mangsa dibunuh dengan senjata, namun polis tidak menemui sebarang senjata di lokasi kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat dan motif sebenar kejadian juga belum diketahui.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Forensik HPP, Datuk Dr Bhupinder Singh berkata, terdapat satu kesan kelar di leher mangsa dan kejadian dipercayai berlaku antara lima hingga enam jam lalu.

No comments:

Post a Comment