Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Kontraktor dakwa dipukul

KAPAR: Seorang kontraktor pasir tidak puas hati selepas ditahan polis kerana didakwa memukul tiga penjawat awam yang bertugas sebagai Pegawai Pejabat Tanah Hulu Selangor Isnin lalu di jalan besar Bukit Beruntung-Sungai Choh.
Lee Kuang Heng, 36, berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah malam Isnin lalu itu, dia memandu kenderaan Toyota Hilux miliknya di jalan besar Bukit Beruntung-Sungai Choh sebelum ditahan sebuah kenderaan yang mengarahkannya berhenti.
“Tiba-tiba tiga lelaki keluar dari kenderaan itu dengan membawa kayu dan meluru ke arah saya seterusnya memukul saya. Cermin depan kereta saya pun pecah sebab dibaling batu.

“Saya gagal berbuat apa-apa dan tak tahu kenapa saya dipukul. Akibat kejadian itu, saya cedera pada tangan, kepala dan kaki,” katanya ketika ditemui di Pejabat Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, di sini, semalam.

Lee berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa, Hulu Selangor selain membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah pusat kesihatan di situ. “Selepas membuat pemeriksaan, polis datang menahan saya kerana didakwa memukul penjawat awam.

“Saya direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu sebelum diikat jamin RM2,000 oleh seorang ahli keluarga,” katanya.

Sementara itu, Manikavasagam (gambar) berkata, pihaknya kesal dengan insiden itu dan menyifatkan ia sesuatu yang tidak seharusnya berlaku di negara ini.

“Seorang penjawat awam tak patut bertindak macam itu sebab tindakan ganas seumpama ini tak dapat selesaikan masalah.

“Pegawai terbabit yang sedang melakukan operasi memantau juga tak bolehlah bertindak melulu seperti itu kerana boleh mengancam keselamatan orang ramai,” katanya.

Katanya, pihaknya kesal dengan tindakan polis tiba-tiba menahan mangsa.

“Saya kesal dan tidak faham dengan kenyataan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi bahawa mangsa hanya cedera disebabkan terjatuh dan bukannya dipukul pegawai berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment