Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Ketua pegawai eksekutif dituduh gagal isytihar bankrap

SEREMBAN: Seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat kontraktor pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tuduhan gagal memaklumkan status kebankrapan ketika menandatangani kontrak dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bernilai lebih RM2 juta, tiga tahun lalu.
Shahrul Affendi Alias, 63, yang memakai baju kemeja cerah dan seluar biru mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkenaan.
Mengikut tuduhan, tertuduh dihukum bankrap oleh Mahkamah Tinggi Seremban pada 15 Ogos 1991 melalui guaman kebankrapan dan seorang bankrap yang belum dilepaskan.

Shahrul kemudian memasuki dan menandatangani kontrak dengan JKR bernilai RM2,851,014 ketika tempoh kebankrapan itu dan gagal memaklumkan pihak yang berkontrak di Jalan Taman Komersil Senawang 4, Taman Komersil Senawang, Seremban pada 10 September 2007.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 109 (1) (m) (ii) Akta Kebankrapan 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 109 (1) akta sama.

Bagi kesalahan itu, dia menghadapi hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Hakim Mazilah Manap menetapkan tarikh sebutan semula kes berkenaan pada 26 Ogos depan.

“Semua penyerahan dokumen perlu dilakukan dalam tempoh dua minggu dan mahkamah berharap pihak pendakwaan dapat melaksanakannya sebelum tarikh berkenaan,” katanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Insolvensi negeri, Ahmad Muttaqin Robbani Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam, Azman Aziz.

No comments:

Post a Comment