Search This Blog

Sunday, August 8, 2010

Kes serang penjaga kuil selesai



SHAH ALAM – Polis mengenal pasti punca serangan terhadap seorang penjaga kuil yang ditemui mati terbaring di sebuah stesen minyak di Lebuh Puteri 6, Pu- chong, Subang Jaya, pada 3 Ogos lalu adalah bermotifkan rasa tidak puas hati kerana mangsa dikatakan menyalahgunakan wang kutipan kuil.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, siasatan yang dijalankan mendapati mangsa, V Rajendran, 52, yang juga adik bongsu kepada peguam, Datuk V K Lingam, bergaduh dengan tiga lelaki sebelum kejadian berlaku.

“Susulan penemuan mayat itu, polis kemudiannya berjaya menahan seorang buruh lelaki berusia 30 tahun yang merupakan salah seorang daripada tiga individu yang terlibat dalam kejadian.

“Dua individu lagi sudah dikenal pasti namun kedua-duanya sempat melarikan diri,” katanya dipetik melalui laman sosial Facebook miliknya semalam.

Khalid berkata, polis juga sudah merakamkan sebanyak 16 percakapan saksi bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis juga menemui bahan bukti yang dipercayai digunakan ketiga-tiga individu terbabit untuk memukul mangsa dalam kejadian terbabit. 

“Polis menganggap kes ini selesai sepenuhnya dan sedang mengemas kini kertas siasatan sebelum dilengkapkan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa telah dituntut oleh seorang lagi abangnya, Datuk V Sivaparangothai pada Rabu lalu.

No comments:

Post a Comment