Search This Blog

Monday, August 23, 2010

Kepala kanak-kanak hancur: Saksi



KUALA TERENGGANU – “Dalam keadaan cedera parah, salah seorang remaja itu masih sempat meminta saya mencari seorang budak, tapi setelah puas menggeledah rumah dan timbunan kayu, kanak-kanak itu tidak dijumpai. 

“Selepas 10 minit mencari, saya terkejut melihat budak itu berada di atas pokok dalam keadaan mengerikan dengan kepalanya hancur,” kata Nor Shefli Azhar, 36, salah seorang saksi terawal tiba di tempat kejadian, semalam. 

Menurut Nor Shefli, dia tidak sanggup melihat keadaan mayat kanak-kanak malang itu yang begitu menyanyat hati lalu bergegas pulang meminta bantuan rakannya yang segera bertindak menghubungi pihak berkuasa. 

Katanya, sebelum itu dia sedang berehat di rumahnya yang hanya terletak kira-kira 40 meter dari lokasi kejadian pada jam 12.30 tengahari dan terdengar bunyi letupan kuat menggegarkan dari rumah tidak berpenghuni itu. 

Katanya, dia bergegas ke tempat kejadian bagi meninjau kejadian dan melihat rumah itu rosak teruk manakala dua lelaki terbaring kerana cedera parah pada bahagian kaki dan muka. 

“Seorang mangsa kakinya hancur tidak sedarkan diri namun masih bernafas dan seorang lagi sempat bercakap meminta saya carikan seorang lagi budak yang turut bersama-sama mereka,” katanya. 

Nor Shefli berkata, dia tidak tahu bagaimana kanak-kanak itu boleh melambung ke atas pokok setinggi kira-kira 15 meter yang begitu mengejutkannya. 

Hasnah Abd Jalil, 54, yang tinggal berhampiran berkata, dia bersyukur tidak ada di rumah ketika kejadian berlaku kerana mengambil anak saudaranya di sekolah sebelum singgah di rumah ibunya yang terletak kira-kira 200 meter. 

Menurutnya, kejadian itu kemungkinan besar boleh mencederakannya kerana letupan tersebut menyebabkan tingkap, lantai dan bumbung rumahnya retak serta pecah.

No comments:

Post a Comment