Search This Blog

Monday, August 30, 2010

Kaki lalok dicekup




SUBANG JAYA – Sengaja melengah-lengahkan masa untuk melakukan pemeriksaan air kencing gagal menjadi helah seorang pekerja kelab malam di Bandar Sunway dekat sini bagi melepaskan diri apabila dia didapati positif dadah jenis morfin dalam satu serbuan bersepadu awal pagi semalam. 

Difahamkan, lelaki itu terus menjalankan tugasnya sebagai pelayan di kelab malam itu sebelum dia diarahkan membuat pemeriksaan air kencing beberapa minit sebelum operasi berakhir 3 pagi. 

Remaja berusia 28 tahun itu antara enam yang ditahan termasuk lima pengunjung yang masing-masing positif dadah jenis ketamin, syabu dan morfin. 

Serbuan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Islam Selangor (Jais) turut menahan individu pelbagai kesalahan lain termasuk remaja bawah umur, pengunjung beragama Islam meneguk minuman keras dan berpakaian menjolok mata. 

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikshan yang mengetuai serbuan berkata, menyedihkan apabila masih ada umat Islam yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan melakukan perkara terlarang. 

“Dalam operasi pagi ini (semalam) 1,200 pengunjung dari dua premis masing-masing terletak di Bandar Sunway diperiksa anggota daripada tiga agensi. 

“Enam daripadanya didapati masih di bawah umur dan sepatutnya berada di rumah mengulang kaji pelajaran untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),”katanya dalam operasi turut disertai Penolong Pegawai Anti Dadah Bahagian Penguatkuasaan AADK, Mohd Fauzan Mohd Arif dan Ketua Seksyen Tindakan Khas Bahagian Penguatkuasa Jais, Mohd Haffizi Mohd Roslan. 

Hasil pemeriksaan AADK kata beliau, lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20-an didapati positif dadah termasuk seorang pekerja kelab itu. 

“Manakala pemeriksaan dijalankan Jais mendapati ada pengunjung yang meminum minuman keras selain selebihnya berpakaian seksi di khalayak ramai. 

“Pihak MPSJ mengenakan tindakan kompaun kepada pemilik premis kerana membenarkan pengunjung bawah umur memasuki premis dan masing-masing dikenakan denda RM5,000,”katanya yang memaklumkan tindakan diambil di bawah Seksyen 11 Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan negeri Selangor 1995 (pindaan 2001). 

Bagi kesalahan meminum minuman keras, pengunjung bakal berdepan tindakan di bawah Seksyen 18, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan boleh dikenakan denda RM3,000. 

Manakala mereka yang positif dadah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983 dan bakal ditahan dua tahun di pusat serenti sekiranya sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment