Search This Blog

Friday, August 13, 2010

'Jutawan' Lubnan dipenjara enam tahun lima bulan kerana menipu

KUALA LUMPUR : Seorang warga Lubnan yang mendakwa dirinya seorang jutawan, hari ini dijatuhi hukuman penjara enam tahun lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas dia didapati bersalah atas dua tuduhan menipu dan satu tuduhan menyalahguna pas lawatan, lima tahun lalu.
Elie Youssef Najem, 50, dihukum penjara tiga tahun bagi dua tuduhan menipu dan lima bulan bagi tuduhan menyalahguna pas lawatan selepas Majistret Mohd Azali Ibrahim mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan yang munasabah terhadap kes berkenaam.
Beliau memerintahkan hukuman itu berjalan berturut-turut mulai hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Azali membenarkan tertuduh menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia dan pasportnya ditahan sehingga kes selesai.

Elie yang pernah berjanji untuk menyumbang RM1 bilion kepada Majlis Kanser Nasional, didakwa menipu Tan Sim Chai, 64, dengan memperdaya Tan bahawa dia akan membayar balik hutangnya apabila memperoleh wang dari luar negara berjumlah 2.6 juta pound sterling.

Tindakan Elie itu mendorong Tan menyerahkan sembilan keping cek Maybank berjumlah RM22,000 pada kira-kira jam 10 malam, 12 September 2005.

Bagi tuduhan kedua, Elie didakwa menipu Tan atas alasan yang sama hingga mendorong Tan menyerahkan RM13,000 pada pukul 11 malam, 13 Sept 2005. Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Elie turut didakwa melakukan kesalahan mengikut peraturan 11(7) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana bekerja sebagai pengarah syarikat dengan menggunakan pas lawatan.

Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di B-3-14, Blok B, Megan Avenue 2, Jalan Yap Kuan Seng, di sini.

Seramai lapan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Terdahulu, peguam S. Selvam yang mewakili Elie memohon agar mahkamah menangguhkan hukuman yang dikenakan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh mempunyai masalah kesihatan termasuk diabetes dan dia memerlukan rawatan untuk penyakitnya itu.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Aizam Aiza Zamran membantah penangguhan hukuman itu dengan alasan rayuan yang diberikan oleh peguam bela adalah tidak relevan.

"Tertuduh telah cuba menipu pengadu dan saya rasa alasan bahawa penangguhan hukuman ke atas tertuduh kerana penyakit yang dialami yang diberikan oleh peguam bela adalah tidak kuat...walaupun tertuduh berada di penjara, dia tetap akan mendapat perubatan bagi mengubati penyakit yang dihidapinya," katanya.

-Bernama

No comments:

Post a Comment