Search This Blog

Friday, August 13, 2010

JPM periksa bot

MELAKA: Sejumlah 150 bot menangkap ikan bersaiz besar dan kecil berpangkalan di jeti nelayan Muara Sungai Duyong, Padang Temu, diperiksa Jabatan Perikanan Melaka (JPM) di sini, bagi memastikan ia selamat digunakan nelayan sebelum ke laut.
Ia membabitkan 50 bot besar nelayan Sungai Melaka yang berpindah ke muara terbabit beberapa tahun lalu selain 70 perahu kecil milik nelayan Padang Temu dan 30 perahu kecil di Kota Laksamana.
Pengerusi Persatuan Nelayan Wilayah Melaka Selatan, Othman Ahmad berkata, pemeriksaan setiap dua tahun itu bertujuan memastikan keadaan fizikal serta ciri keselamatan bot berkeadaan baik dan mempunyai aspek keselamatan.

“Antaranya, pihak berkenaan mengukur panjang bot selain memeriksa enjin bot jika terdapat sebarang perubahan pada enjin berkenaan.

“Selain itu, mereka turut memeriksa ciri keselamatan bot yang menggunakan enjin dalam khususnya bot besar,” katanya ketika ditemui di lokasi Pemeriksaan Vesel untuk Tujuan Pembaharuan Lesen Vesel dan Peralatan Menangkap Ikan Tahun 2011/12 di Muara Sungai Duyong, baru-baru ini.

Sementara itu, Othman berkata, semua perahu dan bot menangkap ikan turut digalakkan menggunakan atau menyediakan jaket keselamatan ketika pemeriksaan.

Katanya, jika terdapat sebarang perubahan atau kekurangan pada sesuatu bot atau perahu berkenaan pihak JPM akan mengambil tindakan lanjut terhadap pemilik terbabit termasuk tidak boleh memperbaharui lesen vesel.

No comments:

Post a Comment