Search This Blog

Tuesday, August 31, 2010

JKM lantik pegawai akhlak bantu dua beradik mangsa rogol



KOTA BHARU 30 Ogos - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri melantik pegawai akhlak untuk membantu dua beradik di Bachok yang mendakwa menjadi mangsa rogol abang kandung mereka.
Pengarah JKM negeri, Md. Noor Chik berkata, ia untuk memastikan keselamatan dan keselesaan kedua-dua beradik berusia 14 dan 16 tahun itu.
Menurutnya, JKM juga terlebih dahulu memeriksa latar belakang dan persekitaran tempat tinggal baru kedua-dua remaja itu yang diperintahkan oleh Mahkamah Majistret Pasir Puteh semalam supaya diserahkan kepada ibu saudara mereka buat sementara waktu.
"Pegawai kaunselor JKM akan melihat kesesuaian sama ada remaja itu akan dipindahkan ke sekolah berdekatan dengan tempat tinggal sekarang supaya persekolahan mereka dapat diteruskan tanpa mengalami tekanan perasaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mahkamah Majistret Pasir Puteh semalam memerintahkan kedua-dua remaja terbabit diasingkan daripada jagaan kedua-dua orang tua mereka berkuat kuasa serta-merta.
Majistret Nurul Fitriza Abd. Latif memutuskan supaya kedua-dua remaja berkenaan yang mendakwa dirogol oleh abang kandung mereka, diletakkan di bawah jagaan ibu saudara untuk sementara waktu dan dipantau oleh JKM.
Md. Noor berkata, JKM sedar bahawa pengasingan kedua-dua beradik itu adalah suatu tempoh peralihan yang mungkin akan mempunyai kesan pro dan kontra antara mereka dengan saudara terbabit.
Justeru, katanya, JKM akan meneliti semua aspek termasuk kemungkinan memberikan bantuan bulanan kepada ibu saudara remaja terbabit untuk meringankan bebannya.
"Sekiranya masih timbul masalah untuk mewujudkan keserasian atau masalah lain pula yang timbul, langkah terakhir remaja terbabit akan dibawa ke rumah perlindungan," katanya.
Beliau memberitahu, prosedur yang dijalankan oleh JKM berkaitan kes seumpama itu adalah dengan menempatkan dahulu mangsa di rumah saudara terdekat, tetapi pada masa sama mengambil kira kepentingan masyarakat setempat.
"Jika dikenal pasti saudara tersebut masih bermasalah untuk menjaganya, kerajaan akan mengambil alih tanggungjawab tersebut," jelasnya.
Ditanya sama ada JKM akan memberi bantuan kepada keluarga remaja berkenaan, Md. Noor berkata, tidak semua kes seperti itu mendapat bantuan secara automatik disebabkan ada syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi.
"JKM mempunyai kumpulan sasar yang ramai dan tanpa had, antaranya orang miskin yang tidak mempunyai sumber pendapatan atau ibu tunggal yang kematian suami atau bercerai.
"Dalam kes ini, kita dapati kedua-dua ibu bapa kanak-kanak terbabit sihat tubuh badan dan mempunyai sumber pendapatan. Sekiranya mereka mahu memohon, borang akan diproses seperti biasa dan JKM akan meneliti ruang yang dapat dibantu," katanya.

No comments:

Post a Comment