Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Jijik bau longkang

KLANG: Menjijikkan. Itulah rungutan dan keluhan peniaga makanan di bazar Ramadan yang terletak di sepanjang Jalan Kenangan, Meru, di sini, berikutan longkang di belakang tapak bazar mereka kotor dan tersumbat.
Antara bahan buangan membuatkan longkang itu tersumbat adalah tin minuman, plastik, botol air, surat khabar dan bekas makanan.
Seorang peniaga makanan dan minuman, Norizan Ramlan, 32, berkata kekotoran longkang di situ sudah lama berlaku namun tiada sebarang tindakan diambil Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk membersihkannya.

“Sampah-sarap yang menyebabkan longkang ini tersumbat amat menyakitkan mata memandang dan jika dibiarkan, hal itu boleh membahayakan kesihatan.

“Lebih-lebih lagi pada bulan puasa sekarang, ramai peniaga terpaksa menjawab aduan pelanggan yang mengatakan tapak bazar kami kadang-kadang berbau busuk,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, pihak MPK yang datang beberapa hari sebelum Ramadan untuk melukis dan menulis nombor petak tapak bazar juga tidak melakukan sebarang tinjauan di longkang itu walaupun ada beberapa peniaga yang sudah membuat aduan.

“Jika masalah itu dibiarkan berterusan bukan saja longkang kotor tetapi, boleh menyebabkan banjir kilat.

“Oleh itu, MPK perlu mengambil langkah segera membaiki dan memulihkan longkang berkenaan supaya tidak tersumbat,” katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati air di sepanjang longkang itu tidak mengalir dan bertakung menjadi tempat nyamuk dan lalat membiak.

Pengunjung, Farawahida Saarani, 24, berkata keadaan itu menyebabkan pelanggan lari kerana risau makanan dijual terdedah kepada lalat yang mungkin pernah hinggap pada sampah-sarap di dalam longkang.

“Masyarakat kini sangat pentingkan kebersihan jadi saya harap masalah longkang yang kotor itu diselesaikan segera dan jika pihak MPK tak menjalankan tugas mereka, mungkin peniaga di sini pula boleh bergotong-royong membersihkannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment