Search This Blog

Tuesday, August 31, 2010

Jaga cedera disimbah racun




2010/08/31

SUNGAI PETANI: Gara-gara menegur sekumpulan lelaki penagih di dusunnya, seorang pengawal keselamatan berusia 49 tahun cedera apabila diserang kumpulan lelaki terbabit dengan menyimbah cecair dipercayai racun ke badan mangsa di Kampung Bukit, Sungai Pasir, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Mohd Rodhi Md Noor dari Taman Semarak dikatakan pergi ke dusunnya sebaik dimaklumkan kegiatan penagih yang menjadikan kawasan itu markas melepas gian.
Difahamkan, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan separuh sedar oleh seorang lelaki kebetulan melalui tempat kejadian sebelum meminta bantuan penduduk kampung yang kemudian membawa mangsa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, untuk rawatan kecemasan.

Mohd Rodhi ketika ditemui berkata, sebaik tiba di dusunnya, dia melihat sekumpulan lima lelaki berkeliaran di dusunnya lalu pergi menemui mereka bertanyakan tujuan berada di kawasan itu.

“Saya tidak mengenali kumpulan berkenaan. Saya menegur perbuatan mereka kerana menjadikan dusun saya markas melepas gian dan mengarahkan mereka keluar dari kawasan itu.

“Pada mulanya saya melihat mereka beredar keluar dari dusun tetapi terkejut mendapati terdapat satu lagi kumpulan 20 orang turut berada di kawasan itu sebelum mereka bergerak menuju ke arah saya.

“Seorang menolak saya hingga terjatuh. Ketika mahu menelefon isteri, seorang lagi ahli kumpulan itu menghentak tangan kiri saya dengan seketul batu hingga cedera,” katanya yang ditemui di HSAH, semalam.

Menurutnya, tidak lama kemudian, dia berasa seluruh badan dan mukanya basah disimbah cecair dipercayai racun di dusun berkenaan.

“Selepas itu saya pening dan badan pedih serta panas manakala mata hanya nampak bayang-bayang.

“Mereka memegang mulut dan memasukkan cecair itu dalam mulut saya hingga tekak berasa sakit dan mulut berbuih,” katanya.

No comments:

Post a Comment