Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Hujan lebat burukkan banjir di China



ZHOUQU China 12 Ogos - Hujan lebat yang turun hari ini memburukkan lagi keadaan di sebuah bandar di barat laut China yang musnah akibat tanah runtuh, yang mengakibatkan lebih 1,100 maut, dengan lebih ramai mangsa dilaporkan hilang.
Beribu-ribu askar dan anggota penyelamat di lokasi kejadian berusaha membersihkan jalan-jalan yang dihalang runtuhan lumpur serta selut oleh ribut malam tadi, menyukarkan lagi tugas membekalkan makanan, air minum dan ubat kepada mangsa yang memerlukan.
Sehingga kini, seramai 1,117 mangsa disahkan mati dalam bencana di Zhouqu, sebuah bandar yang terletak di kawasan pergunungan wilayah Gansu.
Media negara melaporkan, seramai 627 lagi dilaporkan hilang hujung minggu lalu, sementara tiga yang lain dilapor hilang malam tadi.
"Hujan lebat menyukarkan kerja menyelamat. Ia menghalang usaha mengedarkan air minum.
"Situasi ini merisaukan kami," kata seorang anggota bomba, Han Huiping, 25, dari sebuah bandar berhampiran yang menyertai operasi bantuan. - AFP
Askar dan penduduk memberitahu AFP, hujan lebat turun selama empat jam malam tadi, mengubah sebuah jalan utama di Zhouqu menjadi sungai kecil dan membanjiri khemah askar di tepi jalan.
Pekerja penyelamat menggunakan jentera berat bagi membersihkan runtuhan lumpur serta batu yang memisahkan bandar itu kepada dua kawasan hujung minggu lalu, ketika hujan lebat melanda awal hari ini.
Agensi berita Xinhua melaporkan, laluan terdekat ke Zhouqu dari ibu negeri wilayah Lanzhou, yang sering digunakan kakitangan bantuan, kini terhalang akibat runtuhan lumpur.
Koresponden AFP melaporkan bahawa beberapa kedai di bandar tersebut kehabisan bekalan air bersih sebelum waktu tengah hari, namun bekalan minuman baru hanya akan dibawa masuk beransur-ansur.

No comments:

Post a Comment