Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Hiba anak dibunuh kejam



SUNGAI PETANI 12 Ogos - Sambutan Ramadan tahun ini, mungkin tidak meriah seperti sebelumnya buat sebuah keluarga peniaga ikan, Che Sam Md. Amin (gambar), 44, di sini.
Keluarga dari Flat Paya Nahu itu terpaksa menerima hakikat mereka kehilangan salah seorang insan tersayang, Noraini Ahmad, 20, gadis yang dirogol sebelum dibunuh kejam.
Anak sulung daripada tiga beradik hasil perkongsian hidup dengan Ahmad Mahmud, 54, itu ditemui mati di kawasan ladang getah di Kampung Rusa dekat Taman Kelisa Ria, di sini semalam.
Bagi Che Sam, perasaan yang dilaluinya bukan alang kepalang kerana hilang cahaya mata di saat kebanyakan umat Islam baru saja menyambut Ramadan.
"Perit memang perit, sukar untuk saya gambarkan. Apalah dosa anak saya sehinggakan ada orang sanggup lakukan perkara demikian," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi semalam, seorang gadis ditemui mati dalam keadaan separuh bogel dengan kecederaan parah di kepala selain tangan kiri diikat dengan dawai di sebuah ladang getah.
Semasa ditemui oleh seorang penoreh getah, mangsa berada dalam keadaan terlentang dengan seluar dalamnya dilondehkan ke paras lutut.
Menurut Che Sam, dia dimaklumkan mengenai penemuan anak gadisnya itu oleh anggota polis yang datang ke rumahnya pada pukul 11.30 pagi ini.
Katanya, hatinya mula resah selepas mendapati Noraini tidak pulang sejak keluar dari rumah pada pukul 8.30 malam kelmarin.
"Semasa keluar rumah, dia memakai baju berwarna biru dan seluar jean. Dia berjalan kaki untuk menunggu rakannya di perhentian bas dekat rumah.
"Ketika bangun untuk membuat persiapan sahur awal pagi semalam, saya dapati kakak (panggilan manja bagi Noraini) tidak pulang-pulang," katanya.
Dia bagaimanapun tetap tidak mengesyaki apa-apa memandangkan Noraini sering keluar bermalam di rumah rakannya.
Namun, kata Che Sam, hatinya berasa tersentak apabila menonton berita televisyen malam tadi mengatakan seorang gadis ditemui mati di kawasan Sungai Petani.
"Saya menghubunginya melalui telefon tetapi tidak berjaya kerana ditutup. Saya meminta seorang lagi anak untuk menghantar khidmat pesanan ringkas kepada kakak, tetapi tidak dijawab," katanya.
Tambahnya, oleh kerana malam sudah lewat ditambah dengan kepenatan membuat persiapan sahur, dia kemudian masuk tidur.
"Pagi ini polis datang cari dan bawa saya buat pengecaman mayat dan hati saya berkecai apabila melihat orang itu ialah Noraini," katanya.
Che Sam memberitahu, sebelum kejadian, Noraini tidak menunjukkan sebarang kelainan.
"Dia seorang budak yang baik dan sering tolong kami berniaga di pasar. Dia juga gemar keluar bermalam di rumah kawan-kawan," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, dia terkilan kerana tidak sempat berbuka puasa bersama anaknya dan sama sekali tidak menjangkakan perkara buruk berlaku.
Namun, katanya, dia tetap tabah menerima kejadian tersebut yang disifatkan sebagai ujian daripada Tuhan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian.
Katanya, setakat ini, polis belum dapat memastikan sama ada mangsa dirogol atau sebaliknya memandangkan laporan lengkap bedah siasat belum dikeluarkan.
"Kita juga sedang berusaha mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut," katanya.
Jenazah Noraini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kelisa Ria selepas sembahyang Asar, petang ini.
habis

1 comment:

  1. 'Dia juga gemar keluar bermalam di rumah kawan-kawan'...bukan nak menyalahkan sesiapa. Benda paling penting adalah jangan bagi anak dara kita keluar malam.

    ReplyDelete