Search This Blog

Tuesday, August 31, 2010

Hampir pengsan rumah terbakar





CHE Daud Mohd. Ali, Che Yam Che Mat, adiknya, Che Omar Che Daud (kiri) dan cucunya melihat rumah mereka yang musnah dalam kebakaran di Kampung Wakaf Aik, Bachok, semalam.


BACHOK 30 Ogos – Seorang wanita warga emas tergamam dan hampir pengsan apabila rumah yang diduduki hampir 70 tahun lalu musnah dalam kebakaran hari ini, ketika 10 hari lagi umat Islam akan menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri.
Lebih menyedihkan, kejadian kira-kira pukul 1 petang di Wakaf Aik, Tawang itu turut memusnahkan persiapan menyambut hari raya termasuk pakaian empat cucunya yang tinggal bersama-sama mereka.
Ketika kejadian, Che Daud Mohd Ali, 96, yang uzur dan terpaksa berjalan menggunakan tongkat sedang berehat di dalam sebuah pondok yang terletak di belakang rumah.
Isterinya, Che Yam Che Mat, 80, pula berada di dalam rumah bersama-sama empat cucunya berusia antara empat dan 12 tahun.
Che Yam ketika ditemui hari ini berkata, kebakaran itu berlaku dengan pantas dan dia tidak sempat menyelamatkan harta benda termasuk sebuah motosikal diletakkan di bawah rumah papan tersebut.
“Semasa kejadian, saya sedang berehat di bahagian dapur apabila cucu perempuan berusia empat tahun menjerit mengatakan ada api di tiang rumah berdekatan bilik.
“Saya jerit suruh mereka turun daripada rumah, sambil menyuruh dua lagi cucu lelaki ikut lari, saya sendiri pun tergamam dan tidak tahu berbuat apa-apa.
“Kami terus meluru keluar tanpa sempat mengambil apa-apa untuk diselamatkan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Che Yam yang masih keletihan berkata, walaupun gagal menyelamatkan harta benda, namun dia bersyukur kerana ketika kejadian suaminya yang uzur berada di luar rumah.
“Syukur suami ada di luar ketika kejadian, kalau tidak sukar saya bayangkan untuk menariknya keluar.
“Ini kerana hanya saya, seorang anak, Che Omar, yang mengalami masalah mental dan tiga cucu berada di rumah manakala anak perempuan dan menantu yang tinggal bersama keluar bekerja,” katanya.
Ditanya persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri ini, Che Yam dengan perasaan hiba memandang suaminya yang kurang pendengaran sambil menatap wajah cucu-cucunya satu persatu.
“Entahlah, tidak tahu lagi macam mana, mungkin menumpang rumah anak-anak dan saudara-mara dahulu,” katanya.
Selain anak perempuan yang tinggal bersama, pasangan tersebut mempunyai empat anak lagi yang tinggal berhampiran rumahnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Saipu Bahari Mohd Nor, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.11 petang dan ketika sampai ke tempat kejadian api sedang marak.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke sebuah rumah yang terletak hanya kira-kira 50 meter.
“Punca sebenar kejadian masih disiasat dan jumlah kerugian dianggarkan RM50,000,” katanya.

No comments:

Post a Comment