Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Hakim arah bela diri

SHAH ALAM: Pemandu teksi yang didakwa membunuh anak teman wanitanya, Syafiah Humaira Sahari, 4, dalam satu kejadian di Batang Kali, awal tahun lalu diarah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.
Mohd Fazli Azri Jamil, 28, dituduh membunuh kanak-kanak itu di padang bola sepak Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah Batu 30, dekat Batang Kali, jam 6.30 petang, 25 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan berdepan dengan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Selain Idham Abd Ghani, pendakwaan diwakili dua lagi Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Mohd Rashid dan Zureen Elina Mohd Dom.

Tertuduh pula diwakili peguam bela, Gurbachan Singh.

Sepanjang perbicaraan yang bermula sejak 7 Jun lalu, pihak pendakwaan memanggil 33 saksi termasuk teman wanita tertuduh yang juga ibu mangsa, Siti Nurhanim Aziz, 25.

Terdahulu, Mohtarudin dalam alasan penghakimannya berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen utama yang menjadi intipati dalam kes itu. Beliau berkata, sebab kematian si mati yang berpunca dari kecederaan parah di kepala dan badan tidak pernah dipertikaikan kedua-dua pihak. Katanya, keterangan empat saksi kejadian membuktikan bahawa tertuduh menyebabkan kecederaan pada si mati dengan menendang, memijak, menutup pintu kereta. “Juga diakui bahawa tertuduh bermain bola pantai bersama mangsa. Tertuduh menyepak bola yang dipeluk Syafiah. “Jika tertuduh adalah seorang yang penyayang atau melakukannya secara tidak sengaja, dia akan tolong kanak-kanak itu. “Perbuatan itu tidak dapat diterima, apatah lagi tertuduh ketika itu memakai kasut yang ada ‘stud’,” katanya. Menurutnya, daya tahan kanak-kanak tiga tahun empat bulan berbeza dengan orang dewasa. Selain itu katanya, keterangan saksi menunjukkan tertuduh dalam keadaan marah selepas terbabit dengan perselisihan faham dengan ibu mangsa. “Ini dapat dilihat menerusi keterangan saksi keenam bahawa tertuduh berkata, kau pernah nampak budak kena terajang,” katanya. Semua keterangan ini katanya adalah bukti ikut keadaan yang merumuskan bahawa tertuduh menyebabkan kecederaan yang membawa kepada kematian kanak-kanak itu. Menyentuh mengenai pembelaan tertuduh bahawa Syafiah Humaira cedera akibat jatuh motosikal, Mohtarudin berkata ia bercanggah dengan keterangan pakar perubatan. Katanya, keterangan Pakar Patologi Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor bahawa taburan kecederaan yang tidak setempat dan terlindung. “Jika tertuduh memilih untuk membela diri, saya tidak teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman yang diperuntukkan mengikut undang-undang,” katanya. Mohd Fazli Azri akan membela diri Isnin

No comments:

Post a Comment