Search This Blog

Thursday, August 26, 2010

Hadapi lima pertuduhan

PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam, menetapkan 2 November depan untuk sebutan semula kes ketua kumpulan ajaran sesat Abdul Rajab Ahmad.
Ini bagi membolehkan pihak pendakwa melakukan pindaan pada pertuduhan dengan memasukkan perkataan ‘dituduh bersama’. Hakim Syarie, Datuk Mohamad Abdullah menetapkan tarikh itu selepas pendakwa raya dan peguam bela bersetuju berhubung pindaan itu. Abdul Rajab Ahmad, 50, yang menghadapi lima pertuduhan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997. Enam lagi pengikutnya iaitu Abdul Hamid Lateh, 43; Hakimah Abu Samah, 45; Fazilah Md Saleh, 37; Rodiah Yahya, 66; Rohayu Abdul Hamid, 37, dan Amirul Syafiq Rushdan Abdul Hamid, 17, dituduh mengikut Seksyen 4(1) dan Subseksyen 43(b) akta yang sama. Mereka dituduh mengamalkan zikir yang bercanggah dengan hukum syarak apabila menambah nama ‘Syeikh Qadir al-Jailani Waliallahu’ di akhir lafaz selawat dan bersubahat dengan Abdul Rajab membuat pernyataan palsu yang berlawanan dengan ajaran Islam. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membongkar kegiatan penyebaran ajaran sesat yang berselindung di sebalik perkhidmatan rawatan alternatif berikutan serbuan di sebuah pangsapuri di Presint 17, di sini. Kegiatan ajaran sesat itu terbongkar selepas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Polis menyerbu sebuah rumah di Presint 17, pada 10 Februari lalu. Serbuan dilancarkan selepas Jawi dan polis menerima maklumat kegiatan seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai penyampai risalah Allah dan menerima terus ajaran Islam daripada Nabi Muhammad dan Wali Allah. Lelaki terbabit juga mendakwa mengetahui pelbagai perkara yang berlaku pada masa depan, termasuk tarikh kiamat dan meminta pengikutnya membuat persiapan awal. Dia juga mendakwa kumpulannya mempunyai kekayaan di alam ghaib dan harta bernilai lebih RM35 trilion untuk diagihkan kepada umat Islam di seluruh dunia, termasuk RM6 juta kepada penduduk Putrajaya. Difahamkan, mereka yang mahu menyertai kumpulan itu dikehendaki membayar RM6,666 iaitu angka sempena jumlah ayat al-Quran, manakala bayaran bagi rawatan bergantung kepada jenis penyakit dan kemampuan pesakit.

No comments:

Post a Comment