Search This Blog

Monday, August 2, 2010

Gempar mayat dalam kereta




SUBANG JAYA – Pekerja kilang di Taman Perindustrian Subang UEP di sini semalam gempar apabila menjumpai mayat lelaki dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan TP 7 dekat sini . 

Difahamkan, mangsa seorang penyelia sebuah syarikat pengangkutan dipercayai mati akibat serangan jantung dan dijumpai rakan sekerjanya yang kebetulan curiga melihat mangsa yang tidak keluar dari kereta sejak pagi semalam. 

Rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Imran berkata, mangsa Abdul Sani Abdul Rahman, 45, bekerja syif petang sebelum menghabiskan kerja dan pulang ke rumah kira-kira jam 8.45 malam, kelmarin. 

“Pagi tadi (semalam) kira-kira jam 8.30 pagi, ketika melalui jalan ini, saya ternampak dia di dalam kereta sedang tidur namun mengambil keputusan tidak mahu mengganggunya kerana dia juga bercuti dan tidak bekerja hari ini. 

“Namun sehingga jam 2 petang, saya dapati dia masih dalam keadaan tidur sebelum cuba mengetuk cermin kereta dan menghubungi telefon bimbitnya sebanyak beberapa kali namun dia tidak bangun dan menjawabnya,”katanya. 

Imran berkata, bimbang sesuatu yang buruk, dia kemudian memanggil rakan-rakan di tempatnya bekerja yang terletak kurang 50 meter dari tempat kejadian untuk melihat apa yang berlaku. 

“Kami cuba memanggilnya dari luar kereta namun dia tidak bangun atau memberi sebarang reaksi. 

“Merasakan sesuatu yang tidak kena, saya kemudian menghubungi polis yang kemudian tiba di tempat kejadian beberapa minit selepas itu,”katanya.

No comments:

Post a Comment