Search This Blog

Monday, August 30, 2010

Empat anak Mahadi terima pakaian raya



Oleh Sharifah Salwa Syed Akil
inasalwa@bharian.com.my
2010/08/30


AMIRUL Rizal (kiri) membantu adiknya Aris Hafiz  (kanan) mencuba kasut raya sambil diperhatikan Afiq Ashraff   (dua kanan) dan Natasha Emilia Mahadi ketika dibawa membeli-belah di Kuala Lumpur, semalam.
AMIRUL Rizal (kiri) membantu adiknya Aris Hafiz (kanan) mencuba kasut raya sambil diperhatikan Afiq Ashraff (dua kanan) dan Natasha Emilia Mahadi ketika dibawa membeli-belah di Kuala Lumpur, semalam.

Kelab News Desk, Meja Hiburan BH beri sumbangan sambut Aidilfitri


KUALA LUMPUR: Selepas dipertemukan dengan ibu bapa dalam suasana cukup mengharukan di Balai Berita di sini, kelmarin, empat daripada 10 anak pasangan Mahadi Che Mansor, 31 dan Kasmaliza Kassim, 29, teruja apabila menerima sumbangan pakaian raya daripada Kelab News Desk dan Meja Hiburan, Berita Harian Sdn Bhd, semalam.
Mereka dibawa membeli-belah kelengkapan hari raya di pusat beli belah SOGO dan kawasan sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, manakala enam lagi anak pasangan itu walaupun tidak turut serta juga menerima pakaian raya dan kasut masing-masing.
Amirul Rizal, 11, Afiq Asyraf, 10, Natasha Emilia, 9, dan Arif Hafizi, 7, yang ditemui semalam ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaan terharu mereka apabila di bawa membeli-belah dan pada masa yang sama berpeluang memilih baju raya serta kasut yang mereka suka.

Selama kira-kira tiga jam mereka dibawa membeli-belah di pusat beli- belah SOGO dan Bata di Jalan Tuanku Abdul Rahman oleh Ketua Biro Berita Harian Kelantan, Ismail Mat dan wartawan sambilan, Mohd Fakri Awang Lah selain datuk serta nenek mereka, Kassim Mat Diah dan Rokiah Majib.

Tiga lagi termasuk pasangan kembar Airin Puteri dan Adlin Puteri, 4; serta Naqiuddin, 3, tidak turut serta kerana dibawa pulang oleh ayah dan ibu mereka selepas sesi pertemuan itu, kelmarin.

Dua lagi adik beradik mereka iaitu Nor Hidayah, 13, dipelihara ibu saudara mereka di Seremban dan Nia Khalisa, 2, di Kota Bharu manakala seorang lagi masih bayi, Mohd Rizal, 45 hari, mengikut ibu mereka. 
Sementara itu, Amirul Rizal berkata, dia bukan saja gembira kerana dapat membeli baju dan kasut baru, malah tidak sabar untuk menanti kepulangan ibu dan ayah ke kampung selepas tidak bertemu sejak setahun lalu pada bulan yang mulia ini.

“Terima kasih kerana membeli baju raya untuk saya dan adik beradik lain. Gembira sangat kerana kami boleh memilih baju dan kasut kesukaan kami. Nampaknya, jumlah baju raya saya sudah bertambah kerana sebelum ini sudah ada sepasang. 

“Bukan saja tidak sabar nak sambut hari raya tetapi tidak sabar nak berhari raya bersama mama dan papa.

“Papa dan mama kata mereka akan pulang bersama adik kecil untuk berhari raya bersama kami adik beradik di kampung. Seronok sangat... saya pun tidak sabar juga untuk berkumpul semula dengan kakak dan adik yang tinggal bersama mak saudara di Seremban dan Kota Bharu,” katanya ketika ditemui selepas membeli-belah keperluan hari raya di sini, semalam.

Natasya Emilia berkata, dia tidak sabar untuk berhari raya bersama ayah dan ibu selepas setahun mereka sembilan beradik ditinggalkan bersama datuk dan nenek tirinya di kampung.

“Saya nak minta mama dan papa pulang dan berhari raya bersama kami adik beradik... rindu sangat pada mereka sebab sudah lama 
saya tidak jumpa mereka. Kami tidak tahu lagi bila boleh jumpa papa 
dan mama jika mereka tidak jadi balik berhari raya di kampung,” katanya.

No comments:

Post a Comment