Search This Blog

Thursday, August 26, 2010

Dua perompak mati ditembak selepas samun syarikat bas di Banting

BANTING: Dua perompak warga tempatan ditembak mati oleh polis di Kampung Sungai Lang Dalam di sini tengah malam tadi selepas menyamun pejabat sebuah syarikat bas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar lelaki yang ditembak mati itu berusia 41 dan 43 tahun dan berasal dari utara tanah air serta mempunyai rekod jenayah lampau termasuk mencuri, merompak dan mencederakan orang.
Seorang daripada mereka pernah ditahan di pusat tahanan di Simpang Renggam, Johor, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, seorang lagi rakan mereka melarikan diri selepas kereta Proton Waja yang dinaiki mereka terbabas di kawasan tali air Kampung Sungai Lang Dalam selepas dikejar oleh anggota polis.

"Usaha memburu suspek itu sedang dijalankan," katanya.

Khalid berkata, polis yang mendapat maklumat mengenai rompakan itu pada jam 12.20 tengah malam mengesan kereta yang dinaiki suspek-suspek dan cuba memintasnya.

Selepas kereta itu terbabas, ketiga-tiga mereka keluar dari kenderaan itu dan seorang daripada mereka melepaskan dua das tembakan ke arah polis dan ini memaksa polis membalas tembakan.

Khalid berkata, polis kemudian menemui dua pucuk pistol dan sebilah parang yang digunakan dalam rompakan itu dan wang tunai berjumlah RM6,000.

Beliau berkata, ketiga-tiga lelaki itu merompak pejabat syarikat bas itu di pekan Banting pada jam 12 tengah malam tadi semasa dua pekerja sedang menutup pejabat.

"Dalam rompakan itu, seorang daripada penjenayah itu melepaskan satu das tembakan ke siling dan satu lagi ke lantai," katanya.

Khalid berkata, kumpulan itu dipercayai terlibat dalam beberapa rompakan sebelum ini termasuk satu rompakan di Klang tahun lepas.
Beliau berkata, kereta yang digunakan oleh perompak itu dilaporkan dicuri di Klang pada Mei lalu.

Mengenai siasatan berhubung kematian seorang wanita guru tadika yang ditikam selepas cuba diragut di Bandar Sunway semalam, Abdul Khalid berkata, saksi yang melihat kejadian itu tidak dapat membantu polis menyediakan fotofit kerana hanya nampak suspek dari belakang semasa mengejarnya.

Bagaimanapun, polis akan cuba mengenal pasti suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup yang dipasang pada bangunan-bangunan di sekitar tempat kejadian.

Leong Lai Yoong, 57, mati ditikam selepas dia bergelut dengan lelaki yang cuba merompaknya di jejantas Subang Utama berhampiran Sunway Pyramid.

No comments:

Post a Comment