Search This Blog

Monday, August 2, 2010

Dua pekerja Bangladesh mati tertimbus



Inilah lubang di mana dua warga Bangladesh mati tertimbus ketika kerja menggali di tapak loji kumbahan di Taman Sena Fasa 2, Poko Sena, semalam.


POKOK SENA 1 Ogos - Dua pekerja warga Bangladesh yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan, maut selepas tertimbus di tapak pembinaan loji kumbahan di kawasan pembinaan Taman Bandar Baru Fasa 2 di sini hari ini.
Kedua-dua mangsa yang belum dikenal pasti identitinya tertimbus apabila tebing sedalam kira-kira tujuh meter runtuh ketika mereka sedang berkerja di tapak tersebut pukul 4 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa berusia 30-an sedang memasang saluran paip sambil dibantu dua lagi rakan mereka.
Katanya, tiga orang termasuk dua mangsa yang maut itu berada di bawah tapak pembinaan loji berkenaan manakala seorang lagi berada di bahagian atas apabila secara tiba-tiba, tebing tanah yang sedang dikorek runtuh.
"Seorang daripada pekerja yang berada dalam lubang itu sempat menyelamatkan diri dengan bantuan rakan mereka yang berada di atas. Dia mengalami kecederaan di tangan kanan dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.
"Namun, dua lagi pekerja tertimbus di bawah timbunan tanah. Mayat mereka juga dihantar ke HSB untuk bedah siasat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Abdul Ghafar berkata, sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kejadian itu, polis bersama pasukan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bergegas ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa.
Beliau memberitahu, mayat mangsa pertama ditemui pada pukul 5.15 petang manakala mayat mangsa kedua kira-kira 15 minit selepas itu.
"Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut. Kami masih menjalankan siasatan lanjut berhubung identiti mangsa dan punca kejadian termasuk aspek keselamatan di tapak pembinaan loji kumbahan ini," katanya.
Dalam pada itu, Utusan Malaysia difahamkan keempat- empat warga Bangladesh itu mula bekerja di kawasan pembinaan itu sejak empat bulan lalu dengan menyewa sebuah rumah bersama beberapa lagi rakan mereka di Kampung Kiew di sini.
Tinjauan di rumah sewa itu mendapati, seorang pekerja yang terselamat dikenali sebagai Shamsul kelihatan meraung-raung kesedihan meratapi tragedi yang meragut dua nyawa ahli keluarganya itu.
Kedua-dua mangsa yang maut dikatakan adik dan abang ipar kepada Shamsul manakala mangsa yang tercedera pula dipercayai mempunyai pertalian kekeluargaan dengannya.
Bulan lalu, kira-kira beberapa meter dari lokasi kejadian itu, Utusan Malaysia difahamkan, seorang kanak-kanak maut apabila terjatuh ke parit yang dikorek untuk memasang saluran paip ke tapak loji kumbahan itu.

No comments:

Post a Comment