Search This Blog

Tuesday, August 31, 2010

Ditimbus bukit sampah 20m


Oleh Zulkifle Che Abdullah
am@hmetro.com.my
2010/08/31

TANAH MERAH: “Saya terdengar bunyi dentuman dari atas bukit dan sekelip mata saja saya tertimbus hingga paras dada, manakala rakan saya tertimbus bersama kereta,” kata Rustam Osman, 29, menceritakan pengalamannya tertimbus di bawah runtuhan tanah bukit di tapak pelupusan sampah dekat Becah Laut, di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Rustam ditimbus runtuhan sampah setinggi 20 meter sebelum diselamatkan beberapa pencari bahan kitar semula yang berada di kawasan terbabit.
Rakannya, Muhamad Sobaruddin, 16, yang berada dalam kereta itu, tertimbus bersama kenderaan terbabit sebelum diselamatkan sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Tanah Merah selepas setengah jam berdepan azab akibat ditimbus.

Menurut Rustam, dia dan rakannya berada di kawasan itu kerana ingin menemui seorang rakan yang mencari bahan kitar semula.

Katanya, mereka menunggu rakan berkenaan sehingga dia selesai mencari bahan kitar semula di tepi sebuah bukit yang sebahagiannya sudah disodok bagi kerja pengambilan tanah.

“Saya berdiri di luar kereta menunggu rakan itu kerana dia berada agak jauh dari kami manakala Muhamad pula dalam kereta. Tiba-tiba saya terdengar dentuman dari atas bukit sebelum kami tertimbus,” katanya ketika ditemui di Hospital Tanah Merah.

Katanya, dia bernasib baik kerana tiga pencari bahan kitar semula termasuk dua wanita yang berada di tapak pelupusan yang menyedari kejadian itu, bergegas menyelamatkannya.

“Selepas berjaya diselamatkan, kami segera berusaha menyelamatkan seorang lagi rakan yang tertimbus bersama kereta sementara menunggu bantuan bomba. “Mujurlah bomba tiba dengan cepat, kalau tidak tentu kawan saya mati kelemasan dalam kereta yang tertimbus. Saya tidak menyangka kunjungan pertama ke tapak itu hampir meragut nyawa kami berdua,” katanya.

Kejadian menyebabkan Rustam mengalami kecederaan pada kaki kirinya, manakala Muhamad turut cedera pada kaki kirinya kerana tersepit dalam kereta yang remuk ketika dirempuh tanah.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Ridzuan Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 2.48 petang sebelum bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera dan empat anggota.

No comments:

Post a Comment